Kilang Proses E-Waste Haram Diserbu, RM1.3 Bilion Dirampas

Kilang Proses E-Waste Haram Diserbu, RM1.3 Bilion Dirampas

SUNGAI SIPUT, 16 Feb – Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya membongkar kegiatan pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) haram dalam satu serbuan di sebuah kilang di Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar semalam.

Operasi khas yang dikenali sebagai Op Hazard itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, membawa kepada rampasan pelbagai jentera dan bahan bernilai RM1.3 bilion. Ia merupakan rampasan terbesar yang direkodkan dalam tempoh lima tahun.

Komander Briged Utara, SAC Shahrum Hashim, berkata serbuan dilakukan hasil risikan selama sebulan menggunakan dron yang mengesan aktiviti haram di premis berkenaan, yang dipercayai beroperasi tanpa kebenaran sejak sembilan bulan lalu.

“Kami menemui lebih 1,000 beg jumbo, masing-masing seberat satu tan metrik, mengandungi sisa elektronik seperti tembaga, timah, dan aluminium. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.6 juta,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan.

27 Ditahan, Termasuk Warga Asing
Serbuan itu turut menyaksikan penahanan 27 individu berusia antara dua hingga 60 tahun, termasuk dua rakyat tempatan yang dipercayai pemilik dan penyelia kilang. Turut ditahan, 14 warga China, 10 warga Myanmar serta seorang kanak-kanak berusia dua tahun, yang dikatakan anak kepada salah seorang pekerja warga asing.

“Semua warga asing yang ditahan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” tambah Shahrum.

E-Waste Diimport dari Luar Negara
Siasatan awal mendapati kilang berkenaan mengimport sisa elektronik dari beberapa negara, termasuk Bolivia, Thailand, Oman, India, dan Amerika Syarikat, sebelum diproses dan dieksport semula bagi tujuan tertentu.

Timbalan Pengarah JAS Perak, Muhamad Rizal Ramli, menjelaskan bahawa premis terbabit melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana tidak memiliki lesen operasi yang sah dan gagal mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Premis ini melakukan dua kesalahan utama iaitu beroperasi tanpa lesen mengikut Seksyen 18(1) serta tiada kelulusan EIA seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 34A(6) akta berkenaan,” katanya.

Tambahnya, sampel sisa elektronik yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )