KHM bayar wang kemenangan kejohanan LHM hujung bulan ini

KHM bayar wang kemenangan kejohanan LHM hujung bulan ini

KUALA LUMPUR,. Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan melangsaikan wang kemenangan kepada pemenang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 pada akhir bulan ini, selepas tertangguh susulan pandemik COVID-19.

“Ahli Lembaga Eksekutif KHM sudah meluluskan untuk pembayaran wang kemenangan itu dan akan diselesaikan hujung bulan ini,” kata Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang juga pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kecewa selepas skuad wanita kelab itu menjuarai LHM Wanita 2020 pada Februari lepas, namun tidak menerima hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul Naib Juara Piala Vivian May Soars.

Dalam perkembangan lain, Subahan berkata skuad hoki kebangsaan akan kembali menjalani latihan bermula 1 Julai ini, biarpun kerajaan memberi kelonggaran untuk pemain kembali berlatih pada Isnin ini.

“Jawatankuasa Skuad Kebangsaan akan mengadakan mesyuarat bersama Perbadanan Stadium Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Jawatankuasa Perubatan KHM bagi membincangkan mengenai prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi sebelum pemain kembali berlatih,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejohanan tempatan, Subahan berkata pihaknya akan cuba memastikan Liga Hoki Remaja kategori bawah 14 dan 16 tahun diteruskan tahun ini.

Katanya, KHM akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkara berkenaan kerana kejohanan itu melibatkan pelajar sekolah.

Sehingga kini, hanya satu kejohanan antarabangsa iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, pada November depan akan diteruskan mengikut jadual asal, manakala saingan Piala Dunia Remaja 2021 bagi lelaki dan wanita, telah ditunda.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )