Kesejahteraan hidup golongan rentan terus diberi perhatian – PM Anwar
KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kebajikan golongan rentan di negara ini terus diberi perhatian selari dengan konsep ekonomi MADANI.
Mengambil contoh sektor pendidikan, beliau berkata terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.
“Sekadar yang saya faham, majoriti beri manfaat kepada golongan elit seperti orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha terkenal yang (anak-anak mereka) dihantar ke sekolah-sekolah terbaik, dibiaya kerajaan dengan kadar tinggi dan ini tidak munasabah, tidak adil.
“Sepatutnya anak orang kaya itu (yang) dihantar ke Fakulti Kejuruteraan, (sama ada) Melayu, Cina atau Iban – dia bayarlah. Dengan cara itu kita boleh menampung kekurangan, kalau tidak.. subsidi ini berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kebangsaaan: Menokhtahkan Kemiskinan di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala bentuk ketirisan termasuk subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya, harus dihentikan.
Sambil memberi bayangan mengenai pembelaan berterusan kerajaan terhadap golongan rentan dalam Belanjawan 2025, Anwar berkata dengan pemberhentian pemberian subsidi kepada golongan kaya, ia akan digunakan untuk membantu rakyat miskin.
Beliau berkata kerajaan tidak mahu ada rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara hanya disebabkan mereka tidak diberikan peluang sewajarnya.
“Kalau negara ini memaknai kemerdekaan dan kebebasan serta keadilan, maka fokus harus ke situ, kalau sekolah harus ada usaha berterusan langsung untuk meningkat kemudahan, keupayaan dan mutu.
“Bagaimana harus kita lakukan? Dengan memastikan dana diagihkan. Bagaimana boleh dapat diagihkan dana? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains yang dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan, harus dihentikan,” katanya.
Anwar berkata beliau sedar beberapa tindakan yang diambil kerajaan pimpinannya tidak popular bagi sesetengah pihak, namun ia perlu dilakukan demi kesejahteraan golongan yang memerlukan.
Anwar berkata selain golongan miskin, anak-anak berkeperluan khas seperti autisme juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan, selaras dengan rukun keenam dalam MADANI, iaitu ihsan.
Sementara itu beliau juga mahu supaya pendekatan penyaluran dana kerajaan kepada golongan miskin dinilai semula agar bantuan itu tidak disalah guna, dan ia seharusnya diuruskan mengikut prosedur.
Beliau berkata ada agensi yang bertanggungjawab menyantuni golongan miskin didapati menggunakan 80 peratus dana yang diperuntukkan khusus untuk pengurusan jabatan, dan selebihnya barulah disalurkan kepada golongan sasar.
“Saudara membicarakan soal peruntukan, tetapi dana diperuntukkan kepada jabatan dan agensi yang bocor dan tiris tidak dibicarakan, sebab itu memerangi rasuah daripada lingkungan itu jangan dipandang remeh.
“Apakah munasabah satu badan yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin, memberi upah kepada pengurusan (dengan amaun) tertinggi dan perjalanan kelas pertama ke serata dunia.
“Dana membasmi kemiskinan itu sudah antara tertinggi di dunia, tapi adakah ia betul-betul berkesan, berapa banyak tirisnya, berapa banyak dibelanja untuk pengurusan, bagaimana kita harus tentukan bahawa bantuan itu untuk memerdeka dan membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan,” katanya.
Anwar berkata masalah kemiskinan tegar di negara ini hanya boleh diselesaikan dengan memerdekakan golongan rentan menerusi pelaksanaan program yang berkesan oleh kerajaan.
Beliau berkata usaha membantu golongan rentan berkenaan perlu dilakukan sehingga mereka ‘merdeka’ dari segi ekonomi atau mampu berdikari dan bukan sekadar untuk hidup, supaya golongan itu terhindar dari ‘sindrom kebergantungan’.
Perdana Menteri berkata kerajaan di bawah pentadbirannya bertekad mencari penyelesaian tuntas dalam membendung isu kemiskinan tegar di negara ini.
“Sebab itu kalau program-program yang dikemukakan termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat, itu bukan soal bantuan dana, itu memberikan ruang mereka bekerja, membebaskan dan kemudian tidak lagi bergantung. Ini baru bagi kita, petanda kejayaan,” katanya.
–BERNAMA