Kes Tembak Tanjung Rhu: Anwar Jamin Siasatan Akan Dilakukan Secara Telus

Kes Tembak Tanjung Rhu: Anwar Jamin Siasatan Akan Dilakukan Secara Telus

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa siasatan terhadap insiden tembakan yang melibatkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting akan dijalankan dengan penuh ketelusan.

Anwar berkata, laporan awal siasatan akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia sebagai langkah untuk memastikan kedua-dua negara diberi maklumat yang jelas.

“Ini berlaku kerana Malaysia dan Indonesia adalah sahabat baik, dan apabila siasatan lengkap, ia akan dikaji oleh rakan-rakan kita di Indonesia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa siasatan yang telus adalah suatu keperluan, dan kedua-dua pihak harus mematuhi keputusan hasil siasatan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia harus bertindak mengikut undang-undang dalam menangani kemasukan PATI dan kegiatan penyeludupan di perairan negara ini. Tindakan tegas perlu diambil, namun ia harus selaras dengan peraturan yang ada.

“Bagaimanapun, saya ingin memberi jaminan bahawa tidak boleh ada sebarang pelanggaran undang-undang atau tindakan yang bertentangan dengan hukum,” tegasnya.

Anwar juga berharap kedua-dua negara akan terus mengekalkan hubungan yang baik dan tidak membiarkan insiden ini merosakkan hubungan tersebut.

Mengenai kejadian di mana pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia dibaling telur oleh segelintir rakyat negara itu, Anwar menyeru semua pihak untuk bertenang dan tidak membalas provokasi tersebut. Beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut didorong oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berusaha memperburuk keadaan.

Sebelum ini, Indonesia menggesa Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap pegawai APMM yang terlibat sekiranya didapati menggunakan kekerasan berlebihan dalam insiden tembakan tersebut. Laporan daripada pihak berkuasa Malaysia menyatakan bahawa insiden tersebut berpunca daripada provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan PATI, yang menyebabkan seorang daripada mereka maut dan empat lagi cedera.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan bahawa siasatan mendapati terdapat bukti bahawa bot yang dinaiki anggota APMM dilanggar oleh bot PATI, yang turut ditemui dengan dua bilah parang.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )