Kes saman serangan seksual, Yusoff Rawther gagal batal tuntutan balas Anwar

Kes saman serangan seksual, Yusoff Rawther gagal batal tuntutan balas Anwar

KUALA LUMPUR,. Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas pembantu penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Presiden PKR itu.

Permohonan itu adalah berhubung saman yang dikemukakan oleh Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

Anwar kemudian memfailkan saman balas terhadap saman yang dikemukakan Muhammed Yusoff.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff, ketika dihubungi pemberita berkata Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menolak permohonan anak guamnya dengan kos RM3,500.

“Defendan ada memfailkan dua permohonan iaitu penzahiran dokumen dan interlokutori. Kedua-dua permohonan itu akan didengar pada 23 Sept ini di hadapan hakim sama secara dalam talian (Zoom),“ katanya selepas pengurusan kes melalui sidang video di hadapan Lee yang turut disertai peguam Navpreet Singh bagi pihak Anwar.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Plaintif, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019 .

Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )