Kes positif COVID-19 turun kepada 1,280 kes – Dr Noor Hisham

Kes positif COVID-19 turun kepada 1,280 kes – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Kes baharu positif COVID-19 di negara ini terus merekodkan penurunan iaitu 1,280 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 316,269 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,. berkata daripada jumlah terkini tersebut, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 1,278 kes melibatkan penularan dalam negara.

Menurutnya, dua kes import itu melibatkan seorang warga tempatan dan seorang bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 919 warganegara dan 359 bukan warganegara.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 18,704 kes.

“Kes sembuh harian pula mencatatkan 2,345 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada COVID-19 ialah 296,379 kes atau 93.7 peratus” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata sembilan kematian pula dilaporkan hari ini melibatkan lapan warga tempatan dan seorang bukan warganegara manakala sebanyak 155 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 464 kes, diikuti Johor (165 kes) dan 163 kes di Sarawak.

Selain itu, katanya, sembilan kluster baharu dikesan hari ini dengan enam membabitkan penularan di tempat kerja, dua kluster berkaitan komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, yang menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini adalah 1,212 dengan 457 kluster aktif.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Jalan Nusa Mega dan Jalan Industri A1 di Johor, Tapak Bina Jalan U-Thant dan Tapak Bina Jalan Salak di Kuala Lumpur, Lorong Kilang (Selangor) dan Medan Bayan Lepas (Pulau Pinang).

“Kluster komuniti pula adalah Sungai Lembing (Pahang) dan Jalan Setia Jaya (Johor) serta satu kumpulan berisiko tinggi iaitu Amanjaya di Kedah,” katanya sambil menambah, terdapat 19 kluster diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 755.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )