Kes COVID-19 turun kepada 1,070 kes, tujuh kematian dilapor semalam. – Dr Noor Hisham

Kes COVID-19 turun kepada 1,070 kes, tujuh kematian dilapor semalam. – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Kes baharu COVID-19 di Malaysia mencatatkan penurunan dalam tempoh 24 jam lepas, dengan 1,070 kes berbanding 1,349 semalam, selain tujuh kematian dilapor semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di negara ini berjumlah 352,029 dengan kes aktif sebanyak 14,278.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, sembilan adalah kes import manakala 1,061 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan lima bukan warganegara dan empat warganegara, manakala kes tempatan pula membabitkan 904 warganegara dan 157 bukan warganegara.

“Kes sembuh harian pula mencatat 1,294 kes, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat hari ini sebanyak 336,456 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 180 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 89 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kesemua kematian dilapor melibatkan warganegara yang membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 1,295 kematian,” katanya.

Beliau berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 327 kes, diikuti Sarawak 225 kes dan Pulau Pinang 133 kes.

Mengenai kluster baharu, beliau berkata enam kluster dikesan hari ini dengan lima membabitkan penularan di tempat kerja dan satu kluster melibatkan komuniti.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Lorong Dua (Selangor), Taman Komersial (Selangor); Jalan Inovasi (Kuala Lumpur dan Putrajaya); Jalan Mata Kuching (Melaka); Persiaran Utama (Negeri Sembilan); manakala kluster membabitkan komuniti ialah Bukit Sera (Kedah).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini ialah 1,411 dengan 355 kluster aktif,” katanya, bahawa 10 kluster diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 1,056.

Kluster diisytihar tamat itu ialah Kluster Jalan Cempedak, Kluster Jalan Haji Malek, Kluster Tapak Bina Nilam Sari, Kluster Jalan Wawasan 12, Kluster Jalan Tampoi Besi, Kluster Jalan Murni 12, Kluster Jalan Apas Empat, Kluster Jalan Telawi, Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok dan Kluster Kampung Telekong.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )