Kes COVID-19 ketika ini jangkitan sebelum dan pada Hari Raya Aidilfitri

Kes COVID-19 ketika ini jangkitan sebelum dan pada Hari Raya Aidilfitri

PUTRAJAYA,. Masyarakat digesa melaksanakan kawalan kendiri (self lockdown) kerana kes COVID-19 yang direkodkan ketika adalah daripada jangkitan yang berlaku sebelum dan pada Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengambil contoh kluster keagamaan, beliau berkata kluster tersebut mencatatkan 40 kluster di mana 19 kluster dikesan di Johor, (13) Selangor manakala lapan lagi melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Kluster keagamaan tercetus sepanjang bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri dan kluster ini meningkat bergantung kepada pergerakan orang ramai. Jika kita dapat kurangkan pergerakan, peluang untuk virus hidup adalah rendah.

“Kita digalakkan ‘self lockdown’ kerana ia telah diperkenalkan di negara-negara lain dan kejayaan telah dilihat terhadap kawalan kendiri ini dan ia membolehkan rantaian COVID-19 diputuskan,” katanya dalam sidang media secara maya perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin hari ini.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan sebanyak 38,785 kes COVID-19 dilaporkan dapat tempoh 16 Mei hingga Sabtu lepas dengan purata 5,541 kes sehari.

“Sebanyak 333 kes kematian dilaporkan dalam tempoh seminggu itu, kadar kematian pula adalah 48 kematian sehari,” katanya serta menambah kluster tempat kerja dan komuniti turut mencatatkan peningkatan dalam tempoh itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham memaklumkan bahawa sehingga kini tiada penerima suntikan vaksin COVID-19 yang perlu menerima rawatan rapi di hospital akibat kesan sampingan ringan atau serius.

Menurutnya, walaupun terdapat kes kesan sampingan serius dikesan menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan aplikasi MySejahtera sejak program imunisasi dilaksanakan Februari lepas namun jumlahnya sedikit iaitu 0.1 peratus daripada 1,000 dos.

“Sebilangan besar yang mengalami kesan sampingan adalah kesan ringan seperti sakit di tempat suntikan, sakit kepala serta keletihan. Ini merupakan kesan sampingan yang sering dialami penerima suntikan vaksin.

“Mereka yang diklasifikasikan mengalami kesan serius pula telah menerima rawatan dan sudah sihat serta dibenarkan keluar dari hospital. Mereka juga tidak memerlukan kemasukan untuk jangka masa panjang di hospital,” kata Dr Adham.

Beliau sebelum ini berkata kira-kira 99.5 peratus daripada 25,770 kes kesan sampingan akibat suntikan vaksin COVID-19 mengalami kesan ringan dan selebihnya kes serius yang memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut pakar kesihatan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )