Kes Bella: Siti Bainun lantik semula seorang peguam pernah mewakilinya

Kes Bella: Siti Bainun lantik semula seorang peguam pernah mewakilinya

KUALA LUMPUR,. Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali melantik semula seorang daripada lima peguam yang sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, untuk mengendalikan prosiding membela dirinya atas tuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 31, memaklumkan mahkamah bahawa, dia telah melantik Mohammad Farhan Maaruf yang sebelum ini pernah mewakilinya dalam prosiding perbicaraan kes itu di peringkat pendakwaan.

“Saya juga telah maklumkan kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berhubung pelantikan semula peguam (lama) saya,” katanya pada prosiding membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi semalam.

Disoal Izralizam sejak bila tertuduh mahu mengambil semula peguam lama yang mewakilinya sebelum ini, Siti Bainun menjawab, “Saya memang menunggu peguam lama dan masih berhubung dengan peguam-peguam lama yang membantu saya”.

Mohammad Farhan kemudian mengesahkan perkara itu dan memberitahu mahkamah, beliau dilantik oleh Siti Bainun semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon mahkamah merekodkan kronologi penarikan diri peguam-peguam yang mewakili Siti Bainun dalam kes tersebut.

“Saya mohon mahkamah rekodkan Mohammad Farhan telah menarik diri pada 13 Jan lepas, diikuti peguam Nur Ellena Mohamed Razif dan Asiah Abd Jalil. Peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor telah membuat permohonan penarikan diri secara terbuka di mahkamah dan Nurul Hafidzah Hassan pula membuat permohonan sama secara bertulis,” katanya.

Pada prosiding sebelum ini, kelima-lima peguam itu daripada firma guaman berbeza, telah menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.

Pada 26 Jan lepas, Siti Bainun diarahkan memberi keterangan membela diri walaupun beliau tidak diwakili peguam selepas Hakim Izralizam memutuskan bahawa prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.

Siti Bainun diperintahkan membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam masih diteruskan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )