Kes baharu COVID-19 melonjak daripada 6 semalam kepada 62  – Noor Hisham Abdullah

Kes baharu COVID-19 melonjak daripada 6 semalam kepada 62 – Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR,. Kes baharu COVID-19 melonjak daripada enam kes semalam kepada 62 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 62 kes baharu itu, 56 merupakan penularan tempatan melibatkan 30 warganegara dan 26 bukan warganegara manakala kes import enam sahaja.

Menghurai lanjut mengenai 56 kes penularan tempatan, beliau berkata 50 kes merupakan kluster Benteng LD dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Selain itu empat kes penularan tempatan berlaku di Kedah membabitkan kluster Sungai (dua kes), saringan kluster Telaga (satu kes); dan saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar (satu kes) serta satu lagi kes dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-9397.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,459 kes dengan kes aktif terkini adalah 207, katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Mengenai kes aktif pula, Dr Noor Hisham berkata enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sembilan kes telah pulih dan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini.

Menyentuh mengenai kluster Benteng LD, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, kluster tersebut mencatatkan 66 kes positif COVID-19 dengan 64 kes daripadanya melibatkan tahanan manakala baki dua lagi kes merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya.

Beliau berkata berdasarkan analisis risiko yang dijalankan, faktor penularan COVID-19 bagi kluster tersebut adalah ruang tahanan yang sesak dan sempit sehingga sukar melakukan penjarakan fizikal yang menjadi penyumbang utama penularan jangkitan COVID-19.

Enam kes import yang dilaporkan hari ini pula melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara yang tiba dari Turki, Bangladesh, Indonesia dan Mesir.

Sementara itu seramai 1,404 individu telah disaring melibatkan dua daerah di Sabah iaitu Lahad Datu dan Tawau dengan keseluruhannya membabitkan 631 tahanan, 98 kakitangan penjara, 157 ahli keluarga kakitangan dan banduan, 78 anggota polis dan 440 pegawai agensi kerajaan yang lain.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )