Kerugian suku kedua DRB-HICOM susut kepada RM217.5 juta

Kerugian suku kedua DRB-HICOM susut kepada RM217.5 juta

KUALA LUMPUR,. DRB-HICOM Bhd mencatat kerugian lebih rendah pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 kepada RM217.25 juta berbanding RM306.08 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada Selasa, kumpulan itu berkata perolehan hasilnya meningkat kepada RM2.62 bilion berbanding RM2 bilion sebelum ini.

Perolehan hasil bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun, 2021 (separuh pertama 2021) menokok 29.4 peratus kepada RM6.13 bilion daripada RM4.74 bilion bagi tempoh sama, sebelum ini.

Hasil segmen automotif DRB-HICOM bagi separuh pertama 2021 melonjak 52 peratus kepada RM4.35 bilion berbanding RM2.87 bilion pada tempoh sama 2020 biarpun mengalami tekanan jualan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini terutamanya disebabkan oleh jualan kenderaan oleh pengeluar automotif nasional Proton dan jenama lain di bawah kumpulan selain hasil daripada syarikat-syarikat pembuatan dan kejuruteraan seperti PHN Industry Sdn Bhd dan HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

“Bagi suku kedua 2021, hasil yang diperolehi berjumlah RM1.78 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM721 juta atau 68 peratus berbanding tempoh sama pada 2020,” katanya.

Menurut DRB-HICOM, perolehan hasil segmen perkhidmatannya bagi suku kedua 2021 susut sebanyak sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM791.83 juta berikutan penurunan hasil yang diraih oleh Pos Malaysia.

“Bagi separuh pertama 2021, hasil sektor berkenaan berjumlah RM1.66 bilion (separuh pertama 2020: RM1.70 bilion),” katanya.

Selain itu, sumbangan projek-projek pembangunan hartanah DRB-HICOM yang rendah menyebabkan hasil sektor berkenaan merosot 28 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Menurutnya, bagi suku kedua 2021, sektor tersebut mencatat hasil sebanyak RM54.91 juta (suku kedua 2020: RM78.90 juta) manakala perolehan bagi separuh pertama 2021 mencecah RM124.57 juta (separuh pertama 2020: RM172.24 juta).

Dalam pada itu, DRB-HICOM kekal optimis terhadap prospek sektor automotif sebagai tunjang perniagaan kumpulan tersebut.

Menurutnya, susulan impak pelaksanaan PKP terhadap prestasi jualan kenderaan, Proton dan jenama lain di bawah kumpulan berkenaan akan menumpukan usaha untuk memperkukuh semula perancangan jualan sedia ada.

“Bagi tempoh berbaki 2021, kumpulan ini melaksanakan langkah-langkah sewajarnya untuk memperkemas perniagaan agar kekal berdaya saing dalam keadaan yang tidak menentu.

“Langkah kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 31 Disember, 2021, dijangka dapat memacu permintaan secara menyeluruh bagi 2021,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )