Kerjasama ibu bapa, guru kembalikan minat pelajar ke sekolah

Kerjasama ibu bapa, guru kembalikan minat pelajar ke sekolah

KUALA LUMPUR,. Ibu bapa diminta agar sama-sama memainkan peranan dalam memastikan kelancaran proses pelajar kembali ke sekolah, 24 Jun ini.

Ini kerana, cabaran utama bukan sahaja terletak kepada kepatuhan terhadap prosedur standard operasi (SOP) tetapi juga dalam menanam kembali minat anak-anak untuk melalui sesi persekolahan dan pembelajaran seperti biasa.

Guru yang juga finalis Top 50 Global Teacher Prize 2015, Yasmin Noorul Amin, berpendapat, guru juga melalui tempoh sukar sepanjang tiga bulan lalu dan kini perlu membiasakan pula dengan norma persekolahan baharu.

“Guru pun tak minta nak duduk di rumah, mereka juga pening nak pastikan pelajar terus belajar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

“Ada guru yang ambil pendekatan meletakkan bahan bantu mengajar di sekolah untuk diambil oleh ibu bapa sepanjang tempoh ini dan ia satu usaha yang baik.

“Bagi pelajar sekolah menengah pelajar pula, mereka melalui kelas online melainkan jika ada kekangan seperti ketiadaan gajet atau talian internet.

“Perlu diingatkan pembelajaran bukan sahaja di sekolah, pelajar lebih banyak menghabiskan masa di rumah, jadi ibu bapa dan guru jangan tuding jari, jangan marah-marah sebaliknya kena saling berkomunikasi kerana cara dan kehendak setiap anak-anak tak sama,” katanya ketika ditemu bual menerusi panggilan Skype dalam Buletin AWANI, pada Sabtu.

Menyifatkan SOP yang dikeluarkan kerajaan sebagai menyeluruh dan komprehensif, Yasmin bagaimanapun mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat berkaitan impak keberkesanannya.

“SOP yang dikeluarkan sudah bagus, tetapi untuk menentukan jika ia berkesan, kena tengok apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

“Saya agak risau tentang penjarakan sosial kerana kita tahu pelajar-pelajar ini sudah lama tidak jumpa rakan-rakan di sekolah. Jadi saya bimbang tentang bagaimana penjarakan sosial akan dikuatkuasakan nanti.

“Jika ada pelajar yang tiba-tiba jatuh sakit, bagaimana pula, adakah kita akan hantar mereka balik? Sukar untuk dijangka kerana kita tahu ada pesakit COVID-19 yang tidak bergejala.

“Begitu juga dengan kesihatan guru-guru, saya bimbang kerana rata-rata guru di sekolah menengah berusia 35 tahun ke atas dan mereka berisiko.

“Buat masa sekarang, kita cuma boleh tunggu dan lihat. Apa pun, saya pasti semua guru tidak sabar untuk berjumpa semula dengan para pelajar yang disayangi,” ujarnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini menetapkan 24 Jun sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.

–ASTRO AWANI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )