Kerjasama diperlukan untuk dasar pelarian yang sesuai, holistik di Malaysia

Kerjasama diperlukan untuk dasar pelarian yang sesuai, holistik di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Tiga bahagian Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) menyeru kerjasama dwipartisan bagi membantu negara membangunkan dasar yang sesuai dan holistik mengenai pengurusan pelarian.

KRPPM – Polisi Pelarian di Malaysia, KRPPM – Memperbaharui Penjara dan Tempat Tahanan, dan KRPPM – Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi satu kenyataan turut meminta respons dan pemulihan kesihatan COVID-19 yang adil dan inklusif untuk kebaikan semua.

“Peranan Ahli Parlimen daripada semua parti politik sangat penting dalam menerajui dialog dwipartisan yang serius berpandukan data dan fakta untuk pembangunan dasar pelarian komprehensif yang holistik dan berdasarkan kepentingan semua orang di Malaysia.

“Kita harus mengutamakan rakyat dan bukannya politik demi kepentingan negara dan kemanusiaan,” menurut tiga KRPPM itu bersempena Hari Pelarian Sedunia.

Kenyataan itu juga menyatakan pembentukan dasar pelarian domestik memerlukan komitmen merentas parti untuk menilai keadaan secara objektif dan menentukan pilihan dasar terbaik mengenai pengurusan pelarian di Malaysia.

Jelasnya, proses itu perlu mempertimbangkan konteks pembangunan unik Malaysia, keperluan kemanusiaan pelarian, sumber dan kapasiti, serta peranan negara dalam perkongsian tanggungjawab serantau.

“Ia harus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta pemimpin masyarakat tempatan dan pelarian,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan itu menyebut, pembangunan dasar pelarian domestik juga harus mengambil kira cabaran semasa dalam mengawal penularan wabak COVID-19 dan mempercepat pemulihan kesihatan awam, ekonomi dan sosial.

Memuji tindakan kerajaan kerana bersetuju memberi vaksin kepada pelarian dan migran, kenyataan itu juga menyatakan keperluan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelarian tampil untuk ujian dan vaksinasi tanpa rasa takut ditahan dan ditangkap.

Menurutnya, memandangkan pelarian berada di Malaysia untuk sementara waktu, adalah penting untuk berusaha mencapai dasar yang membolehkan hak asasi sebelum mereka ditempatkan ke negara ketiga atau kembali ke negara asal mereka dengan selamat dan sukarela apabila keadaan sudah aman.

“Langkah-langkah konkrit untuk membangunkan dasar pelarian juga akan menunjukkan komitmen berterusan Malaysia terhadap hak asasi manusia dan menyokong pencalonan Malaysia untuk mendapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tempoh 2022-2024.

“Kurangnya dokumentasi undang-undang, akses kepada mata pencarian, pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta risiko penangkapan dan penahanan yang berterusan terhadap pelarian menyebabkan golongan itu berada dalam kemiskinan dan peminggiran, yang menyekat kemajuan Malaysia untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari dan objektif Agenda 2030 iaitu tidak meminggirkan sesiapa pun,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)