
Kerjasama Celcom dan Aerodyne teroka pembangunan teknologi dron
PETALING JAYA,. Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Aerodyne Group (Aerodyne), iaitu penyedia penyelesaian DT3 (Drone Tech, Data Tech and Digital Transformation) antarabangsa yang beribu pejabat di Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka pembangunan penyelesaian IR4.0 dengan fokus dalam sektor perbandaran dan pertanian.
Bersandarkan kekuatan kedua-dua pihak dalam teknologi komunikasi, serta automasi, Kecerdasan Buatan (A.I.), Pembelajaran Mesin (Machine Learning), dan teknologi 5G, kerjasama tersebut akan membuka peluang bersama untuk membangunkan serta memasarkan penyelesaian yang inovatif.
Aerodyne dan rakan penyelesaiannya bakal berpeluang terlibat dalam inisiatif yang dijalankan oleh Pusat Kecemerlangan Digital Celcom (CODE), dengan fokus kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi komunikasi dan berpotensi membangun kes kegunaan yang diperlukan dalam optimisasi operasi bagi industri yang dikenal pasti.
Pembangunan penyelesaian inovatif yang dicadangkan bakal membuka laluan bagi Celcom dalam memperluas penawaran bagi penyelesaian perusahaan dalam ekosistemnya. Selain itu, penyelesaian dron yang sedia dimiliki oleh Aerodyne akan dikuasakan oleh Celcom, dan ini akan diperluaskan kepada pelbagai penyelesaian Aerodyne yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, dalam usaha Celcom untuk menjadi pemangkin adaptasi teknologi IR4.0, ia mengalu-alukan kolaboratif dengan pelbagai pihak, khususnya syarikat teknologi dan syarikat rintisan.
“Kolaboratif seumpama ini penting bagi mengukuhkan pembangunan golongan pakar yang mampan dalam ekosistem tempatan, dan membolehkan pelbagai industri di Malaysia mengadaptasi revolusi industri tersebut.”
“Kerjasama dengan syarikat seperti Aerodyne merupakan sebahagian daripada strategi Celcom dalam memberi sokongan digital yang lebih kukuh kepada usahawan rintis digital dan teknologi tempatan. Inisiatif ini juga adalah kesinambungan daripada sokongan yang diberikan oleh Axiata Digital Fund (ADIF), melalui pelaburannya ke atas Aerodyne sebelum ini.
“Kami berharap untuk membentuk lebih banyak kerjasama sebegini untuk menginspirasi usahawan dan syarikat rintis di Malaysia untuk adaptasi pantas bagi penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (A.I.), dan pada masa yang sama menyumbang dalam pembangunan ekosistem digital yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed pula, pihaknya teruja dengan kerjasama strategik yang dicadangkan ini.
“Bersama Celcom sebagai penyedia keterhubungan pilihan kami, penerokaan dan pembangunan penyelesaian pintar menggunakan dron dan teknologi 5G akan dapat dijalankan. Ia akan membolehkan dron menghantar rakaman definisi tinggi dalam masa nyata,”
“Latensi milisaat bagi 5G dan kelajuan data hingga 100 kali lebih pantas daripada 4G membolehkan dron menghantar rakaman dan data berkualiti tinggi kepada pengendali di darat,” jelas beliau.
Dron kini telah diterima sebagai alat yang sesuai untuk aplikasi komersil dan kerajaan tempatan dalam sektor pertanian, fotografi udara, pemantauan, perlombongan, tenaga, pembinaan, keamanan dan keselamatan, serta industri logistik. Bagi mencapai potensi maksimum daripada aplikasi tersebut, keterhubungan yang lancar di antara juruterbang dron kepada dron amat diperlukan, dan ia boleh dicapai melalui 5G.
Pandemik COVID-19 telah meletakkan tumpuan kepada pelan segera dan jangka panjang bagi bekalan makanan di Malaysia.
Pertanian pintar dapat memberi penyelesaian bagi isu bekalan makanan yang semakin meningkat, yang terkesan dengan pertumbuhan populasi, perbandaran, penggunaan teknologi moden, dan peningkatan tahap pendapatan dan permintaan kepada sumber makanan kaya protein, keperluan petani yang meningkat bagi pemantauan ternakan dan pengesanan penyakit, dan pengurangan kos dengan menggunakan penyelesaian pemantauan ternakan yang maju.
Selain itu, penggunaan teknologi canggih yang berkembang seperti IoT dan AI di ladang akuakultur, pemantauan ternakan, dan ladang pertanian pintar untuk meningkatkan hasil pertanian mendorong pertumbuhan pasaran pertanian pintar.
Menurut firma penyelidikan MarketsandMarket, pasaran pertanian pintar dianggarkan berkembang dari ASD13.8 bilion pada tahun 2020 menjadi ASD22.0 bilion pada tahun 2025, dengan CAGR 9.8 peratus.