Kerajaan tidak akan hantar jemaah haji tahun ini

Kerajaan tidak akan hantar jemaah haji tahun ini

KUALA LUMPUR,. Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, beliau sudah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah di Arab Saudi dan mereka menghormati pandangan dan keputusan Malaysia mengenai perkara itu bagi tahun ini.

“Semalam daripada Kementerian Haji dan Umrah (Arab Saudi) sendiri sudah telefon saya yang mana mereka menghargai Malaysia dan kita akan keluarkan kenyataan mengenainya dalam masa terdekat.

“Memang pada tahun ini kita tidak akan hantar jemaah sama ada jemaah haji atau pun Furada,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Aktiviti Dakwah dan Kebajikan dan Pelancaran Mobile Aplikasi Jejak Asnaf (MOJA) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Al-Habsyi, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akhbar Samon dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Terdahulu Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata akan membenarkan sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

“Ibadah haji pada tahun ini diputuskan dengan hanya jumlah yang terhad untuk memastikan ibadah ini dilaksanakan dengan selamat dari perspektif kesihatan umum dan menurut ajaran Islam berkaitan dengan keselamatan nyawa,” Saudi Press Agency memetik kenyataan Kementerian Haji Arab Saudi.

Pengumuman itu secara tidak langsung pastinya memberi kekecewaan kepada jutaan bakal jemaah di seluruh dunia termasuk Malaysia yang menabung dan menunggu senarai yang lama untuk berpeluang menunaikan haji. -Oleh AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )