Kerajaan sedia tujuh cadangan rentas parti jika usul undi percaya diluluskan

Kerajaan sedia tujuh cadangan rentas parti jika usul undi percaya diluluskan

KUALA LUMPUR,. Kerajaan mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya akan menjemput semua pimpinan parti politik dari luar Perikatan Nasional (PN) untuk berbincang mengenai cadangan itu minggu depan dan beliau sedia mendengar pandangan semua pemimpin politik.

Beliau menjelaskan menerusi cadangan itu, semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara tanpa mengira parti politik akan diberi peruntukan RM300,000 bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.

“Atas semangat kerjasama bipartisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

“Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki,” katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan petang ini.

Muhyiddin juga berkata bagi mendukung prinsip ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Society’ dalam memerangi COVID-19, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input serta cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion yang diluluskan tahun lepas bagi menjadikan jumlahnya meningkat kepada RM110 bilion bagi membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis wabak itu.

“Dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau uji, kesan serta asingkan.

“Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan termasuk menambah petugas kesihatan, meningkatkan kapasiti wad Unit Rawatan Rapi termasuk penyumberluaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta selaras dengan pendekatan ‘Whole of Nation’,” katanya.

Muhyiddin berkata bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun ini dan ia bakal diteruskan tahun depan bukan sahaja untuk golongan B40 sebaliknya meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar serta M40 yang kehilangan pendapatan.

Beliau berkata bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan untuk membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana terutama dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.

Muhyiddin berkata sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga, Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja serta Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Cadangan keempat pula ialah kerajaan akan memperkukuh reformasi Parlimen dengan 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang untuk memastikan semua wakil rakyat memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan.

Beliau berkata menerusi cadangan kelima, kerajaan akan melaksanakan undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa dan untuk tujuan itu, Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen.

“Saya berharap dengan adanya kerjasama bipartisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.

“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang memiliki jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan.

Katanya semua cadangan itu dikemukakan bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik dengan sokongan bipartisan di Parlimen selain perlu bertanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik tidak diselesaikan segera.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )