Kerajaan sedia RM19.2 juta bantu PSK tahun ini

Kerajaan sedia RM19.2 juta bantu PSK tahun ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan peruntukan geran sebanyak RM19.2 juta kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang menyediakan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat, tahun ini.

ADVERTISEMENT

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan itu sejajar dengan prinsip keterangkuman Keluarga Malaysia bagi memastikan tiada mana-mana golongan terpinggir.

“Kita memang beri kepada Orang Kurang Upaya (OKU), pusat OKU, warga emas dan pusat-pusat jagaan yang lain.

“Untuk kanak-kanak istimewa atau warga emas yang tidak tinggal di pusat jagaan, kerajaan juga bagi bantuan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan, di sini hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bantuan dalam bentuk Geran Rangsum (makan minum), Geran Pentadbiran, Elaun Khas Murid OKU, Geran Perkapita dan Geran Pembaikan itu bertujuan menampung sebahagian kos ditanggung PSK.

Semasa sesi lawatan itu, perdana menteri turut menyerahkan sumbangan ‘ang pau’ dan pek makanan kepada para penghuni di pusat berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

Sementara itu, Rina Harun berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan khas kepada 1,225 pusat jagaan OKU dan warga emas yang terjejas berikutan penularan COVID-19.

“Pusat-pusat ini mengadu kurangnya bantuan daripada syarikat-syarikat korporat ketika COVID-19.

“Untuk 2022 ini, kita teruskan bantuan-bantuan ini selain bantuan langsung,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )