Kerajaan nyatakan komitmen perangi aktiviti haram

Kerajaan nyatakan komitmen perangi aktiviti haram

KUALA LUMPUR ,. Kerajaan giat memantau aktiviti haram yang telah menyebabkan ketirisan hasil seperti penyeludupan dengan usaha yang diterajui oleh Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Bercakap pada Mesyuarat Tahunan Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram (APG) di sini hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata terdapat projek yang sedang dijalankan untuk mendapatkan semula RM5 bilion dalam tempoh lima tahun berikutan kehilangan hasil akibat daripada penyeludupan rokok dan minuman keras.

“Perjuangan kita menentang jenayah berisiko tinggi ini akan terus disokong oleh kerjasama yang kukuh melibatkan agensi penguatkuasaan dan komuniti risikan kewangan.

“Secara keseluruhannya, saya ingin menegaskan bahawa komitmen ini yang melibatkan agensi kerajaan telah membuahkan hasil, apabila pada 2021, pendedahan laporan transaksi yang mencurigakan telah berjaya membawa kepada 70 tangkapan untuk pelbagai kesalahan, RM136 juta hasil jenayah telah dibekukan atau disita dan perolehan semula hasil lebih RM255 juta,” katanya.

Beliau berkata Petunjuk Tadbir Urus Dunia turut menunjukkan bahawa Malaysia telah menambah baik kedudukannya berbanding 10 tahun lepas dari segi suara dan akauntabiliti, kualiti kawal selia, kedaulatan undang-undang dan kawalan terhadap dimensi rasuah.

“Pada masa sama, kedudukan kita lebih tinggi berbanding purata rantau Asia Timur dan Pasifik terutamanya dalam keberkesanan kerajaan dan dimensi kualiti kawal selia.

“Menyedari kepentingan pendekatan seluruh kerajaan, kami telah memperluas Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan (NCC) bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram kepada 17 agensi dan kementerian, tanpa itu, usaha Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Membanteras Pembiayaan Keganasan yang berkesan di Malaysia tidak akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata NCC telah mengesahkan pelan hala tuju yang membentangkan fokus strategik utama dan pelan tindakan nasional untuk 2021-2023 yang akan dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta.

“Menyedari keperluan untuk memerangi jenayah kewangan yang lebih sofistikated pada masa depan, pelan hala tuju itu juga akan mendorong kepada penggunaan sains data atau penyelesaian berasaskan teknologi yang lebih baik untuk meningkatkan kaedah pengawasan dan risikan kami.

“MyFINet ialah platform kerjasama awam-swasta kami yang sedia ada yang kini memberi tumpuan kepada rasuah, penyeludupan, kesalahan berkaitan sekuriti serta keganasan dan pembiayaan keganasan,” katanya.

Pada masa depan, katanya skop MyFINet akan diperluas untuk menangani jenayah berisiko tinggi lain yang dikenal pasti dalam Penilaian Risiko Kebangsaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )