
Kerajaan Lulus RM60 Juta untuk Pelebaran LTSAS, Terminal Kargo Bakal Dibina
IPOH, 31 Jan 2025 – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi projek pelebaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, dengan tujuan meningkatkan kapasiti penumpang dan memperkukuh sektor penerbangan di Perak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, mengumumkan bahawa peruntukan tersebut akan disalurkan dalam dua fasa, dengan RM8 juta diperuntukkan untuk fasa pertama dan RM52 juta untuk fasa kedua.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meluluskan peruntukan ini. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan setelah sekian lama dinantikan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI).
Peningkatan Kapasiti Penumpang & Infrastruktur
Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut memperuntukkan RM4 juta untuk pelebaran jalan keluar masuk ke lapangan terbang. Dengan projek ini, kapasiti LTSAS dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 700,000 penumpang setahun, berbanding 500,000 penumpang ketika ini.
“Tahun lalu, LTSAS mencatat kira-kira 512,000 penumpang, hampir mencapai tahap maksimum. Dengan projek pelebaran ini, sektor penerbangan di Perak akan berkembang lebih pesat, sekali gus merancakkan ekonomi negeri,” jelas Nga.
Terminal Kargo Baharu Pacu Ekonomi Negeri
Sebagai sebahagian daripada projek naik taraf, kerajaan juga merancang membina terminal kargo di atas tanah seluas lebih 10 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berhampiran LTSAS.
Terminal ini dijangka menjadi pusat eksport utama bagi produk tempatan ke negara jiran seperti Singapura dan Thailand, sekaligus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan di Perak.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mencadangkan projek naik taraf lapangan terbang ini sebagai langkah untuk memperkukuh industri penerbangan dan ekonomi negeri. Dengan pelaksanaan projek ini, LTSAS berpotensi menjadi hab penerbangan yang lebih berdaya saing di rantau ini.