Kerajaan, agensi teliti proses bagi percepat tempoh kelulusan insentif

Kerajaan, agensi teliti proses bagi percepat tempoh kelulusan insentif

KUALA LUMPUR,. Kerajaan serta agensi-agensinya akan meneliti proses birokrasi dalam usaha memendekkan tempoh permohonan insentif yang disalurkan kepada orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata sebagai contoh, permohonan bantuan (kewangan) yang memakan masa sehingga dua bulan untuk diluluskan boleh dipendekkan supaya penerima mampu menikmati faedahnya secepat mungkin.

“Sistem penyampaian itu perlu lebih efisien atau lebih cepat dalam usaha kita melaksanakan tanggung jawab sebagai pemimpin. Kita perlu memperkemas proses itu dan memastikan setiap bantuan yang diberi adalah khusus untuk mereka yang (terbukti) benar-benar memerlukannya.

“Ini dapat dilaksanakan dengan penggunaan Analisis Data Raya bagi memastikan kita tahu siapa (golongan sasaran) yang perlu diberi bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Belanjawan 2021: Akses Kepada Pekerjaan dan Meningkatkan Pendapatan,’ malam tadi.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Redzuan berkata kerajaan menyedari ramai terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 yang turut menyaksikan penguncupan pertumbuhan ekonomi Malaysia (serta dunia).

Malah, katanya, kerajaan turut memandang serius keadaan ramai yang kehilangan pekerjaan manakala majikan khususnya dalam sektor perkhidmatan yang terpaksa menutup syarikat akibat kekurangan permintaan.

Atas alasan itu, kerajaan membentangkan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion iaitu terbesar dalam sejarah.

Mengulas peluang pekerjaan, Mohd Redzuan berkata kerajaan akan lebih menumpukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan nadi ekonomi negara.

“PKS mampu mengembangkan lagi peluang pekerjaan dan kita akan memperkasakan mereka,” katanya.

Antara bantuan untuk PKS dalam Belanjawan 2021 adalah penyediaan dana kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi sebanyak RM300 juta oleh SME Bank bagi menggalakkan transformasi perniagaan mikro dan kecil Bumiputera.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan yang hadir sama pada program itu berkata pihaknya berharap majikan turut diberi bantuan dalam usaha membantu menstabilkan semula syarikat masing-masing.

“Mereka boleh memilih untuk menyertai ekonomi gig, tetapi kita memerlukan undang-undang baharu berkaitan ekonomi digital yang semakin berkembang ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )