Keputusan Kes Mohd Fadli Diumum Esok, Guru Terima Sendiri Daripada Ketua Jabatan – Mohd Radzi

Keputusan Kes Mohd Fadli Diumum Esok, Guru Terima Sendiri Daripada Ketua Jabatan – Mohd Radzi

PUTRAJAYA – Keputusan kes tatatertib membabitkan guru, Mohd Fadli Salleh akan diumumkan esok, kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin. Menurut beliau, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan akan menyampaikan keputusan tersebut kepada Mohd Fadli sendiri esok.

Katanya, ia akan diserahkan oleh Ketua Jabatan guru berkenaan.

“Persidangan berhubung isu tersebut baru sahaja tamat dan keputusan akan disampaikan esok (kepada Mohd Fadli),” katanya kepada media selepas program sukan Touch di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai hasil mesyuarat lembaga berkenaan, susulan surat tindakan tatatertib yang diterima Mohd Fadli, atas tindakannya mendedahkan kepincangan sistem pendidikan negara.

Mohd Fadli, guru sekolah rendah di Gombak, Selangor dua hari lalu berkongsi surat tindakan diterimanya di Facebook, susulan kelantangan beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan keupayaan pelajar.

Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

Akibatnya jelas Mohd Fadli, beliau berdepan kemungkinan dipecat atau diturunkan pangkat kerana terlalu lantang bersuara. Perkongsian itu meraih perhatian ramai dan menerima sokongan pelbagai pihak, termasuk bekas guru yang mendakwa turut berdepan kebejatan serta kepincangan sistem pendidikan negara.

Mohd Fadli dalam satu hantaran berasingan juga memberitahu, telah menggunakan khidmat peguam terkemuka, Nor Zabetha Muhamad Nor untuk mewakilinya dalam kes itu.

Susulan insiden, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali menerusi sebuah video semalam dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan akan bersidang hari ini selepas menerima representasi guru berkenaan tiga hari lalu.

Jelas beliau, surat diterima Mohd Fadli bukan bererti guru terbabit telah dijatuhkan hukuman.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Radzi ketika ditanya mengenai insiden menimpa guru terbabit berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan bersesuaian sebagai respon terhadap isu yang dibangkitkan.

“Contohnya KPM pada 6 Mac lalu telah memperkenal inisiatif bagi menangani masalah beg sekolah berat, antaranya menyusun semula jadual waktu dan memasang lokar.

“Silibus yang digunapakai ketika ini diperkenal pada 2017,” katanya. KPM katanya lagi sentiasa bersikap terbuka dan mengambil berat pandangan semua pihak berhubung silibus pelajaran, termasuk membuat semakan.

Pada sidang sama, beliau turut mengingatkan ahli politik agar tidak menangguk di air keruh dan menjadikan insiden terbabit sebagai modal berkempen.

– Getaran, 17 Oktober 2022

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )