Kenaikan suhu, jerebu dijangka pada Julai-September

Kenaikan suhu, jerebu dijangka pada Julai-September

KUALA LUMPUR,. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan berlaku kenaikan suhu berserta fenomena jerebu di negara ini pada Julai hingga September depan.

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata pengaruh faktor luar seperti ribut tropika di negara berhampiran seperti Filipina boleh menyebabkan keadaan menjadi kering di Semenanjung.

“Di Indonesia, berkemungkinan berlakunya kebakaran hutan kerana cuaca kering adalah tinggi dan angin akan datang dari barat daya (membawa asap) ke negara kita dalam bentuk jerebu,” katanya menerusi rancangan Malaysia Petang Ini yang diterbitkan BernamaTV hari ini.

MetMalaysia semalam mengeluarkan kenyataan berkaitan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan sehingga pertengahan September.

Muhammad Helmi berkata kejadian itu akan menyebabkan pengurangan pembentukan awan hujan dan mengalami hari tanpa hujan serta menghasilkan taburan hujan yang rendah.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )