Kementerian Kewangan peruntuk RM1.7 bilion bagi program MySTEP 2022

Kementerian Kewangan peruntuk RM1.7 bilion bagi program MySTEP 2022

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM1. 7 bilion bagi program jangka pendek (MySTEP) 2022 dengan sasaran penciptaan 80,000 pekerjaan pada tahun ini.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata perkerjaan tersebut boleh dimohon secara dalam talian di laman web http://www.mystep.mof.gov.my/.

“Oleh itu, saya berharap pencari kerja akan memanfaatkan segala peluang yang ada melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia, sama ada di Karnival ini atau secara dalam talian melalui portal MyFutureJobs; MySTEP dan UpSkillMalaysia,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Pelancaran Kempen JaminKerja Keluarga Malaysia yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

MySTEP adalah antara komponen di bawah inisiatif JaminKerja yang merupakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan dikelolakan oleh Agensi LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berjaya menempatkan 63,221 graduan pada tahun 2021 dengan 66 peratus ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan manakala 34 peratus lagi di GLC.

“Saya yakin kerajaan akan dapat mengulangi semula kejayaan tahun lalu di mana pencapaian telah melebihi sasaran.

“Hampir 560,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta, berbanding sasaran awal iaitu 500,000 bagi tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata menurut laporan terkini yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa, kadar pengangguran global dijangka kekal di tahap 207 juta orang pada tahun ini,berbanding 186 juta orang pada 2019.

“Sekiranya tidak ditangani, ia akan memperdalamkan jurang pendapatan di seluruh dunia termasuk Malaysia, dan akan melemahkan struktur ekonomi, kewangan dan sosial negara,” katanya.

Justeru, katanya, dasar-dasar kerajaan yang dirangka adalah bertujuan untuk mengelakkan kesan jangka panjang terhadap pasaran buruh, pendapatan isi rumah, dan perpaduan sosial.

Menurutnya, Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan meletakkan ekonomi negara di landasan yang kukuh supaya kita dapat membina semula ekonomi dengan lebih baik dan lebih berdaya tahan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )