Kembara Perpaduan Malaysia MADANI dilancar, merangkumi tiga kluster utama
KUALA LUMPUR,. Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang telah melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI di Dataran Muzium Negara di sini hari ini.
Program ini adalah salah satu inisiatif melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkasa agenda perpaduan negara dan integrasi nasional di bawah Ikhtiar 11: Menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat.
Program flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI ini diperkenalkan dengan matlamat menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI.
Menurut Aaron, kementerian akan menggerakkan keseluruhan agensi di bawahnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan Yayasan Tun Razak (YTR) untuk menerajui pelaksanaan program dan aktiviti yang telah dirancang.
Tiga kluster utama yang digariskan di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI ialah Program Semarak Kenegaraan, Program Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.
Kembara Perpaduan Malaysia MADANI memayungi tiga kluster program yang berpaksikan kepada pencapaian objektif Dasar Perpaduan Negara melalui penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuklah pemimpin, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Civil Society Organisation (CSO) dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Progam Kembara Perpaduan Malaysia MADANI akan membawa impak yang besar kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pelbagai pengisian program yang dapat memperkukuh jalinan muhibah dan ikatan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia,” kata Aaron.
Apabila ditanya mengenai penglibatan dan kerjasama Kementerian Perpaduan dengan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC), Aaron berkata kedua-dua kementerian tersebut berkait rapat. Pelbagai inisiatif di bawah kementerian MOTAC turut melibatkan perpaduan dan harmoni rakyat, katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.
Penglibatan jentera perpaduan khususnya KRT, Skim Rondaan Sukarela, Sekretariat Rukun Negara, Kelab Rukun Negara, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan dan NGO Rakan Perpaduan (Friends of Unity) akan diperkasakan bagi menyokong pelaksanaan setiap program dan aktiviti berkaitan. Kolaboratif strategik ini juga akan digerakkan melibatkan agensi swasta serta NGO.
“Saya juga menyeru agar seluruh rakyat dapat terus menghayati konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian dan mengamalkan nilai toleransi dalam membina masyarakat MADANI yang bersatu padu dan berdaya saing,” tambah Aaron.
Pelaksanaan program di bawah Flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI akan menggunakan “whole of government approach” iaitu kerjasama antara agensi kerajaan merentasi sempadan portfolio organisasi dengan berkongsi tindakan untuk mencapai matlamat pembangunan Malaysia MADANI.