Kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan turun 27.1 peratus minggu lepas

Kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan turun 27.1 peratus minggu lepas

KUALA LUMPUR,. Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 27.1 peratus pada Minggu Epidemiologi kedua 2023 (ME2/2023) iaitu dari 8 hingga 14 Jan berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 2/2023 berbanding ME 1/2023 mencatatkan penurunan 36.4 peratus bagi pesakit kategori satu dan dua manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima menurun sebanyak 41.7 peratus.

“Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 2/2023 berbanding ME 1/2023 bagi katil bukan kritikal menurun sebanyak dua peratus dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun sebanyak 2.0 peratus,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata bagi kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital juga menunjukkan penurunan.

Menurut beliau dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 14 Jan 2023 (ME 2/2023) kumulatif kes baharu COVID-19 ialah 5,032,433 sementara kumulatif kes sembuh sebanyak 4,985,263 kes.

Katanya kumulatif kes kematian ialah 36,908 kes dan kumulatif kluster berjumlah 7,167 kluster dengan lima kluster aktif.

Menurut Dr Noor Hisham bilangan kes sembuh pada ME 2/2023 menurun sebanyak 13 peratus (3,781 kes kepada 3,288 kes) manakala bilangan kes baharu menurun sebanyak 21.9 peratus (3,231 kes kepada 2,525 kes) berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata bilangan kes tempatan menurun sebanyak 22.3 peratus daripada 3,213 kes kepada 2,497 kes manakala bilangan kes import meningkat sebanyak 55.6 peratus daripada 18 kes kepada 28 kes.

“Bilangan kes kematian pada ME 2/2023 meningkat sebanyak 61.9 peratus (21 kes kepada 34 kes); dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 2/2023 menurun sebanyak 3.3 peratus (11,278 kes kepada 10,901 kes). Nilai RT pada ME 2/2023 adalah 0.89,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga ME 2/2023, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 27 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 3.4 peratus pada ME 2/2023 dan sebanyak 1.7 peratus Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 pada ME 2/2023.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan pihak berkuasa negara-negara serantau selain sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )