Keluarga Mahu Penjelasan Berhubung Kemasukan Tahanan ke Hospital

Keluarga Mahu Penjelasan Berhubung Kemasukan Tahanan ke Hospital

31 Januari 2025, / JOHOR BAHRU – Ibu bapa seorang tahanan di Pusat Koreksional Johor Bahru, Ulu Choh, Pontian, meminta pihak berkuasa memberikan penjelasan mengenai keadaan kesihatan anak mereka yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) minggu lalu.

S. Pannir, 51, bapa kepada P. Jagdesshraj, 21, berkata beliau hanya mengetahui perkara itu ketika hadir ke mahkamah untuk menghadiri prosiding anaknya pada 20 Januari.

“Saya dimaklumkan di mahkamah bahawa anak bongsu saya tidak hadir kerana telah dimasukkan ke hospital,” katanya dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri peguam keluarga, Dinesh Muthal.

Menurut Pannir, anaknya dibawa ke hospital pada 20 Januari tetapi dihantar semula ke penjara reman sebelum tahanan lain mendesak pihak penjara untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi Jagdesshraj.

“Saya difahamkan dia dibawa semula ke hospital pada 21 Januari. Saya dan isteri, A. Shanti, diberikan kebenaran melawat pada 23 Januari. Keadaannya kelihatan kritikal, namun kami tidak dimaklumkan apa yang sebenarnya berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Dinesh Muthal menegaskan bahawa pihak keluarga hanya mahukan jawapan, terutama selepas lebih seminggu Jagdesshraj dirawat di hospital di bawah pengawasan tiga pegawai penjara.

“Pihak berkuasa perlu memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku kepada Jagdesshraj kerana sehingga kini keluarganya masih tidak dimaklumkan sebarang maklumat rasmi,” katanya.

Jagdesshraj ditahan pada tahun 2023 atas kesalahan jenayah berat dan dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ditahan semula pada tahun yang sama di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan masih dalam tahanan sehingga kini.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )