Kelab Indonesia potong gaji pemain 75 peratus

KUALA LUMPUR,. Pasukan Liga Malaysia (Liga M) disaran meniru pendekatan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam menangani masalah kewangan kelab ketika penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berkata, pasukan dan pemain Liga M perlu mendapatkan langkah penyelesaian yang boleh ‘menyelamatkan’ kedua-dua belah pihak tatkala PSSI tampak sudah mengambil jalan terbaik bagi memastikan industri bola sepak di negara itu tidak terjejas teruk.

“Dalam konteks Malaysia, AFC menggesa pasukan dan wakil pemain mencari model yang sesuai dalam mendepani kemungkinan ketidakstabilan kewangan seperti yang dilaksanakan PSSI.

“PSSI duduk berbincang dengan semua pemegang taruh dan bersetuju dengan satu keputusan.

Kesudahannya, kita tidak mahu kelab atau pasukan menamatkan sebarang kontrak pemain jika kedudukan kewangan mereka tidak lagi mampu menampung perbelanjaan secara berterusan,” katanya semalam.

Sebagai rekod, PSSI mengisytiharkan Mac hingga Jun 2020 sebagai ‘force majeure’ (darurat atau keadaan luar jangka) dan membenarkan pasukan membayar gaji pemain sebanyak 25 peratus daripada kontrak yang dipersetujui sepanjang tempoh empat bulan itu.

Sebelum ini, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak bersetuju dengan hasrat beberapa pasukan yang mahu memotong gaji pemain susulan penangguhan Liga M dan menegaskan kontrak perlu dipatuhi seperti yang dipersetujui.

Dalam perkembangan sama, Windsor turut menasihatkan pemain untuk mengambil pendekatan yang realistik memandangkan situasi semasa ketika ini menyebabkan kantung sesetengah pasukan ‘sesak’.

“Pasukan mungkin tidak dapat memenuhi tanggungjawab yang termaktub dalam kontrak dengan pemain. Laporan dari Eropah menunjukkan gaji pemain sama ada dipotong atau ditunda.

“Walaupun kita maklum kelab diwajibkan membayar gaji penuh kepada pemain, kita tidak boleh mengharapkan sedemikian seandainya mereka tidak ada pendapatan. Bincang dengan pasukan dan kaji tawaran yang mereka kemukakan,” katanya.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )