Kekurangan aksi antarabangsa jejas larian Noor Iasah

Kekurangan aksi antarabangsa jejas larian Noor Iasah

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

TOKYO: Kekurangan aksi antarabangsa menjejaskan larian Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dalam saringan kedua pusingan pertama 400 meter wanita T20 (kecacatan intelektual) di Stadium Olimpik di sini pada Isnin.

Biarpun layak ke akhir, Siti Noor Iasah yang kecewa dalam aksi pertamanya di penampilan kedua Sukan Paralimpik di sini, menjelaskan situasi itu menyebabkan beliau tidak berjaya mempamerkan larian yang bertenaga hari ini.

“Sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa, kali terakhir saya menyertai saingan kompetitif adalah di Brisbane, Australia pada 2019.

“Saya boleh katakan saingan kali ini sangat mencabar kerana ramai pelari muda yang mempunyai larian lebih pantas daripada saya,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang menamatkan larian di tempat keempat dalam final pada penampilan pertamanya di Rio 2016, juga berharap dapat menampilkan larian yang jauh lebih baik untuk memberi tentangan sengit kepada pesaing lain pada peringkat akhir esok.

Atlet dari Johor berusia 31 tahun itu menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan kedua dan ketujuh secara keseluruhan, dengan catatan masa 59.89 saat (s).

Breanna Clark dari Amerika Syarikat yang bersaing dengan Siti Noor Iasah muncul pelari pantas, selain memperbaharui rekod Paralimpik milik pelari Ukraine, Yuliia Shuliar iaitu 57.58s yang hanya bertahan hampir 10 minit itu, dengan rekod baharu, 56.07s.

Yulia sebelum itu memperbaharui rekod Paralimpik terdahulu dipegang Breanna dilakukan di Rio 2016 iaitu 57.79s.

Peringkat akhir dijadual berlangsung pada 8.38 malam ini (7.38 malam waktu Malaysia).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)