Kejuaraan Superbike Malaysia dikurangkan kepada dua pusingan

Kejuaraan Superbike Malaysia dikurangkan kepada dua pusingan

KUALA LUMPUR,. Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2020 hanya akan berlangsung dalam dua pusingan sahaja berbanding empat, disebabkan situasi pandemik COVID-19 yang tidak menentu pada masa ini.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan menyeluruh antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Two Wheels Motor Racing (TWMR), tetapi jumlah perlumbaan mungkin ditingkatkan kepada enam perlumbaan menerusi dua pusingan yang dirancangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya amat komited untuk menganjurkan perlumbaan itu, sebagai platform untuk penunggang tempatan meneruskan minat mereka dalam perlumbaan motosikal, berikutan pembatalan acara permotoran lain akibat COVID-19.

“Walaupun hanya ada dua pusingan untuk (musim) 2020, format perlumbaan telah diperbaiki untuk menambah keseronokan kepada pertandingan tersebut.

“Tujuan kami adalah untuk menyediakan platform kepada pelumba profesional tempatan, untuk melatih dan membangunkan bakat dan pasukan. Jadi usaha perlu diteruskan walaupun dalam keadaan (COVID-19) yang tidak menentu, bagi memastikan semangat perlumbaan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan bersama SIC dan TWMR hari ini.

Pengarah TWMR Ron Hogg yang berkongsi pandangan yang sama, gembira kerana Kejuaraan MSBK akan berlangsung seperti biasa walaupun negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Beliau turut mendedahkan yang SIC dan TWMR telah bersetuju untuk meneruskan pembangunan bagi kelas MSBK, terutamanya pengenalan kelas Underbone 150, dan juga memperkenalkan Dunlop sebagai pembekal tayar rasmi untuk perlumbaan.

“Kategori baru ini akan menggunakan spesifikasi yang sama dengan Kejuaraan Perlumbaan Jalanan Asia.

“Lebih penting lagi, kelas ini terbuka kepada semua pasukan dan pelumba. Perbezaannya terletak di mana pada kelas CP150 di Kejuaraan Cub Prix Malaysia merupakan kelas elit, yang dikhaskan untuk pasukan terbaik dalam Kejuaraan tersebut,” katanya.

Ron berkata, dengan mewujudkan kategori MSBK150, kita memberikan peluang kepada lebih banyak pasukan dan pelumba, untuk menyertai perlumbaan super cub.

SIC akan menjadi tuan rumah kepada kedua-dua pusingan, dengan pusingan pertama 25-27 Sept, diikuti pusingan kedua 16-18 Okt.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )