Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik, Soon Huat-Shevon mara ke pusingan ketiga

Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik, Soon Huat-Shevon mara ke pusingan ketiga

KUALA LUMPUR,. Dua beregu Malaysia – Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) – melepasi halangan pusingan kedua pada Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol semalam.

Pemenang gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pilihan keempat kejohanan, memerlukan 56 minit untuk menundukkan beregu dari China Ou Xuan Yi-Zhang Nan 21-18, 20-22, 21-16 di Palacio de los Deportes Carolina Marín.

Pasangan nombor tujuh dunia itu, yang menerima ‘bye’ pada pusingan pertama, akan bertemu satu lagi gandingan dari China He Ji Ting-Tan Qiang untuk perebutan slot ke suku akhir, hari ini.

Terdahulu, pilihan ke-16 kejohanan Ji Ting-Tan Qiang, bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk menewaskan Callum Hemming-Steven Stallwood dari England, 16-21, 21-12, 21-12.

Sementara itu, beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, yang turut menerima ‘bye’ pada pusingan pertama, mudah mengenepikan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-8, 21-13.

Soon Huat-Shevon akan menentang beregu Hong Kong, Yeung Ming Nok-Ng Tsz Yau, selepas pasangan itu diberi kemenangan percuma susulan penarikan diri bekas beregu Malaysia Chan Peng Soon-Goh Liu Ying daripada kejohanan.

Baru-baru ini, Peng Soon-Liu Ying mengumumkan perpisahan mereka selepas 13 tahun bergandingan di gelanggang. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )