Kejohanan dalaman medan uji atlet wushu negara

Kejohanan dalaman medan uji atlet wushu negara

KUALA LUMPUR,. Persiapan atlet wushu negara bagi menghadapi dua temasya besar iaitu Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022 tetap diteruskan biarpun perancangan latihan dan kejohanan sebelum ini terjejas berikutan penularan COVID-19.

Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan kejohanan dalaman yang diadakan setiap dua bulan, bermula bulan lepas bagi menguji kecergasan, prestasi dan kesiapsiagaan atlet kebangsaan.

Presiden WFM Datuk Chong Kim Fatt berkata kejohanan dalaman itu membabitkan 19 atlet kebangsaan, terdiri daripada 15 atlet senior dan empat atlet pelapis yang kini menjalani latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Ia melibatkan semua atlet kebangsaan di MSN, kerana kami mahu mereka kekal kompetitif, menjaga prestasi masing-masing serta tidak terlalu santai. Kami memanggil jurulatih dan juri bertaraf antarabangsa di negara ini untuk mengadili mereka.

“Selepas kejohanan, atlet akan diberi penerangan untuk memperbetulkan dan memantapkan teknik masing-masing. Ini kerana teknik dan gaya setiap juara dunia tidak sama, jadi, semua jurulatih dan juri boleh memberi pandangan mengenai gaya yang baik kepada atlet,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Chong mengakui bahawa tempoh ‘rehat’ ketika menghadapi penularan pandemik COVID-19 mempunyai kebaikan kerana memberi masa buat skuad wushu negara untuk menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dalam mencari cara memantapkan lagi pasukan.

Berhubung penganjuran kejohanan tertutup di Bukit Jalil pada Disember depan, Chong berkata WFM masih meneliti perancangan itu kerana melihat situasi semasa peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini.

“Kami akan membuat keputusan berdasarkan situasi semasa mengenai penganjuran kejohanan ini. Kami perlukan kejohanan dalam negara kerana tiada sebarang kejohanan antarabangsa sehingga Jun tahun depan. Kejohanan Wushu Asia di India yang dijadual semula ke Mac 2021, hampir pasti akan ditunda.

“Kami juga merancang untuk menganjurkan kem motivasi bagi melatih psikologi dan stamina atlet, yang sepatutnya diadakan di Mantin, Negeri Sembilan tetapi ditangguh buat masa ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )