Kehadiran menteri ubati kerinduan gelandangan sambut Aidilfitri tanpa ahli keluarga

Kehadiran menteri ubati kerinduan gelandangan sambut Aidilfitri tanpa ahli keluarga

KUALA LUMPUR,. Suasana ceria tergambar pada wajah kumpulan gelandangan yang berada di Pusat Gelandangan Sementara (PGS) Dewan Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri diadakan di pusat penempatan itu hari ini.

Walaupun dilakukan secara sederhana ekoran negara masih lagi berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB), Aidilfitri tetap disambut dengan penuh kesyukuran.

Kesedihan gelandangan yang jauh dari ahli keluarga terubat apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa meluangkan masa meraikan mereka sekali gus menceriakan majlis itu.

Wan Jasni Mizam Haria, 38, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, dia berasa terharu kerana sejak diselamatkan oleh pihak kerajaan dalam operasi khas Mac lalu, Annuar sanggup meluangkan masa meraikan kesemua gelandangan.

“Sejak berada di sini, saya berasa gembira dan terbela malah menteri sering mengunjungi kami di sini, katanya.

Wan Jasni menceritakan, sebelum ini, dia bekerja sebagai Pembantu Keselamatan di Putrajaya namun diberhentikan hingga terpaksa memilih hidup bergelandangan sebelum diselamatkan pihak berkuasa.

“Dalam perkahwinan terdahulu, saya mempunyai empat anak dari umur tiga tahun sehingga 14 tahun. Dua daripadanya dijaga bekas isteri dan selebihnya dijaga keluarga saya di kampung,” ceritanya kepada Wilayahku.

Wan Jasni berkata, sebelum ini perasaannya kosong kerana sering mengenangkan nasib dan merindui anak-anaknya namun kata-kata nasihat menteri menjadi panduan untuk mengubah nasib.

“Melalui beberapa program yang akan disertai nanti, saya berjanji untuk tidak menghampakan keluarga dan Tan Sri Annuar dan bertekad mahu mengubah kehidupan,” katanya.

Muhammad Anuar Abdullah, 50, dari Tampin, Negeri Sembilan, pula berkata, dia berasa terharu dapat bersama – sama dalam majlis Aidilfitri ini walaupun menyambut dalam keadaan sederhana tanpa kehadiran ahli keluarga.

“Sambutan tahun ini amat berbeza, namun saya bersyukur kerana selepas ini sudah tidak perlu hidup bergelandangan lagi.

“Saya telah ditawarkan pekerjaan sebagai operator pengeluaran di kilang sarung tangan. Saya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk memperbaiki mutu kehidupan,” katanya.

Terdahulu Annuar meluangkan masa meraikan gelandangan tersebut sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan peribadi dan duit raya kepada kira-kira 108 gelandangan sebagai persediaan kepada mereka untuk memasuki alam pekerjaan kelak.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menempatkan kira-kira 181 gelandangan yang diselamatkan dalam dua operasi khas di dewan itu sepanjang PKP bagi mencegah penularan Covid-19. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )