Kehadiran Ahli Parlimen pakai PPE tidak bermotifkan politik – Ismail Sabri

Kehadiran Ahli Parlimen pakai PPE tidak bermotifkan politik – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR,. Kehadiran Ahli Parlimen ke persidangan Dewan Rakyat dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) kerana masih dikuarantin di rumah adalah untuk memberikan laluan kepada wakil rakyat terbabit menunaikan hak mengundi, dan ia tidak bermotifkan politik

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini juga, dalam kes-kes tertentu, telah membenarkan mereka yang perlu menjalani kuarantin hadir ke sesuatu lokasi untuk diberikan hak masing-masing.

Beliau memberi contoh senario yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lepas apabila kerajaan membenarkan pengundi untuk mengundi walaupun mereka dikuarantin.

“Mereka negatif, kerana macam kes Ahli Parlimen (kejadian semalam) mereka mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif. Hak mengundi di Parlimen adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Mereka berhak untuk diberikan kebenaran mengundi di dalam Parlimen, dan peraturannya masih lagi perlu hadir secara fizikal di dalam Parlimen,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Seri M. Saravanan (Tapah) dan P. Prabakaran (Batu) yang menjalani tempoh perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hadir ke sidang Dewan Rakyat dengan mengenakan PPE dan mencetuskan bantahan wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun pada sidang hari ini,Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan telah menulis surat permohonan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan mendapat kelulusan untuk hadir ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memberi contoh ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, kelonggaran hadir ke tanah perkuburan turut diberikan untuk mengiringi jenazah, tetapi dengan syarat individu terbabit perlu memakai PPE.

“Begitu jugalah dengan sekarang ini, apabila mereka hendak menggunakan hak mereka sebagai pengundi, maka kita minta mereka memakai ‘full PPE’ untuk melindungi Ahli Parlimen lain daripada dijangkiti, kalau mereka itu positif.

“Tetapi setakat ini selepas swab test pertama, mereka negatif. Walaupun begitu, kita tetap mengarahkan mereka memakai PPE sepenuhnya dan tidak berada di kerusi mereka,” katanya.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata kebebasan diberi bukan sahaja kepada Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), malah kepada Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

“Mereka hanya masuk untuk mengundi dan untuk menunggu kementerian seterusnya (giliran penggulungan), mereka diletakkan dalam bilik khas dan tidak bercampur dengan sesiapapun.

“Kita mengambil tindakan ini berdasarkan hak mereka untuk mengundi dan tidak boleh dinafikan hak mereka yang telahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi sebab itu kita benarkan, tak bolehlah kata kerana hal mengundi, maka BN kita benarkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )