Keenakan bubur lambuk Kampung Baru bakal dirindui

KUALA LUMPUR,. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, warga kota pasti tidak melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk yang diedarkan secara percuma di Masjid Jamek, Kampung Baru.

Keenakan juadah tradisi popular di lokasi tersebut membuatkan ramai yang berpusu-pusu berbaris untuk mendapatkannya seawal pukul 4 petang lagi.

Namun berbeza pada sambutan Ramadan kali ini yang mana juadah tersebut mungkin tidak dapat disediakan memandangkan negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menurut Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris, jawatankuasa masjid sentiasa memandang serius dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Kita mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan melibatkan orang ramai. Jadi mana mungkin untuk menghimpunkan tukang masak bagi menyediakan juadah tersebut,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, masjid juga ditutup buat masa ini jadi besar kemungkinan tiada bubur lambuk sempena Ramadan ini.

Pun begitu, menurutnya sebarang keputusan setelah berakhirnya tempoh PKP fasa ketiga ini akan dibawa pada mesyuarat akan datang.

“Kita juga patuh pada amanat yang disampaikan Perdana Menteri semalam bahawa kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala selagi virus ini masih wujud, amalan penjarakan sosial mesti diutamakan,” katanya kepada Wilayahku.

Sebagai rekod, bubur lambuk Masjid Kampung Baru merupakan juadah tradisi yang terkenal sejak era 50-an lagi.

Tahun lalu, pihak masjid mengedarkan lebih 3,000 bungkus bubur lambuk sehari kepada orang ramai dalam bulan Ramadan. -WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )