Kedudukan PM baharu kekal ‘goyah’ jika tiada parti politik yang mendapat majoriti mutlak – Penganalis

Kedudukan PM baharu kekal ‘goyah’ jika tiada parti politik yang mendapat majoriti mutlak – Penganalis

KUCHING,. Pakar akademik Profesor Jayum Jawan, percaya ‘permainan kuasa politik’ di negara ini tidak akan berakhir dengan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri atau pelantikan perdana menteri yang baharu.

Ini kerana menurutnya, siapa sahaja dilantik perdana menteri baharu akan memimpin kerajaan yang sudah pun berada dalam situasi lemah.

“Malah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti, kedudukan perdana menteri yang dilantik boleh terus ‘goyah’ seperti dua perdana menteri terdahulu, jika tidak ada satu parti politik mendapat majoriti mutlak.

“Itulah hakikatnya dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mana-mana pemimpin atau perdana menteri,” katanya kepada Utusan Borneo malam tadi.

Penganalisis politik itu berkata penyelesaian kepada masalah itu ialah satu parti politik memenangi lebih daripada 112 kerusi parlimen supaya parti-parti lebih kecil tidak dapat menggugat kepimpinan, seperti yang berlaku ketika ini.

Mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara, Jayum berkata:

“Perdana Menteri sementara mengambil alih dan mentadbir kerajaan sementara. Perdana Menteri sementara tidak melakukan sebarang perubahan ke atas dasar-dasar kerajaan yang sudah diwujudkan.

“Beliau hanya terikat kepada tugas-tugas harian dan akan menyerahkan jawatan itu kepada orang yang dilantik sebagai perdana menteri kelak,” ujarya.

Muhyiddin secara rasmi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Isnin.

Muhyiddin meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Turut meletak jawatan adalah 29 Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Susulan itu Yang di-Pertuan Agong berkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

–UB

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )