Kedaulatan undang-undang medium menyatupadukan masyarakat

Kedaulatan undang-undang medium menyatupadukan masyarakat

KUALA LUMPUR,. Ahli falsafah undang-undang Rom, Marcus Tullius Cicero pernah menyatakan kebahagiaan sesebuah masyarakat itu bergantung kepada kepatuhan setiap individu terhadap undang-undang.

Penyataan itu jelas menggambarkan hubungan sesama manusia tidak boleh berlaku dengan sempurna jika tiada peraturan dan undang-undang.

Kesannya dapat dilihat di banyak negara dunia apabila undang-undang dan keadilan tidak menjadi pasak utama, natijahnya, berlaku kacau-bilau yang sekali gus merobek keharmonian masyarakat.

Keadaan tegang yang menggugat perpaduan juga tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia sekiranya kita leka dan tidak mendukung prinsip keempat Rukun Negara yang mendaulatkan undang-undang.

Tujuan penguatkuasaan undang-undang itu bukan medium untuk menghukum, tetapi untuk memastikan kerukunan sesuatu perkara dapat berlangsung dengan sempurna demi kebaikan bersama, menurut Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

“Kerajaan dan rakyat keseluruhannya terikat dengan undang-undang dan wajib mematuhinya. Inilah prinsip utama dalam konsep kedaulatan undang-undang.

“Kedudukan semua warganegara sama di sisi undang-undang, dari individu biasa hingga pimpinan tertinggi. Apabila undang-undang diutamakan, tiada lagi ruang yang wujud untuk tindakan sewenangnya,” katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun Rukun Negara ke-50 bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual pada 9 Julai ini.

Rukun Negara mengandungi lima prinsip – Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Tuanku Nasirudin Shah yang bertujuan untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum di Malaysia susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Menjelaskan lebih lanjut prinsip keempat Rukun Negara itu, Shamrahayu berkata rakyat Malaysia dilihat sebagai sebuah bangsa yang sentiasa bersedia mendepani cabaran dengan penuh disiplin yang menjadi kunci keamanan dikecapi negara sehingga hari ini.

Mengambil contoh kepatuhan masyarakat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas sehingga PKP Pemulihan yang masih berjalan sehingga hari ini bagi membendung pandemik COVID-19, beliau berkata rakyat secara umumnya menghormati undang-undang sepertimana diingini dalam Rukun Negara.

“Ia sesuatu boleh dibanggakan rakyat Malaysia. Saat kerajaan melaksanakan PKP hampir semua masyarakat di negara ini mematuhi arahan itu. Ini memperlihatkan masyarakat kita memahami kebaikan sesuatu undang-undang hingga ia mudah untuk ditaati,” katanya.

Selain itu, beliau berkata komunikasi yang berkesan antara pemimpin dan rakyat menjadi mekanisme terbaik dalam pelaksanaan sesebuah undang-undang.

“Ini dapat dilihat apabila pemimpin boleh menegur rakyat dan sebaliknya. Dengan konsep saling menegur ini, barulah matlamat negara yang kita idam-idamkan dalam Rukun Negara berjaya dicapai,” katanya sambil menambah kedaulatan undang undang menjadi prinsip yang akan terus mengikat masyarakat sebagai sebuah bangsa yang berdaya saing dan saling hormat-menghormati.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata Perlembagaan serta undang-undang negara perlu difahami dan dihayati untuk mengelak tercetusnya rasa tidak berpuas hati, khususnya melibatkan hubungan antara masyarakat majmuk di negara ini.

“Prinsip Rukun Negara merupakan satu falsafah yang penting dalam mencorak masa depan negara.

“Jika lima prinsip Rukun Negara ini tidak dihormati, institusi demokrasi negara kita ini akan runtuh yang sekali gus menghancurkan nilai perpaduan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pemimpin negara perlu menjadi contoh yang baik dalam memupuk nilai perpaduan selaras dengan pematuhan kepada kedaulatan undang-undang.

“Sikap sebegini perlu diterapkan dalam kalangan pemimpin negara agar masyarakat dapat mengikut teladan yang baik kerana sekiranya mereka menunjukkan amalan sebaliknya, bagaimana rakyat mahu menghayatinya.

“Rakyat yang baik adalah daripada pemimpin yang baik,” tambahnya.

— BERNAMA

Oleh Amirul Mohd Sajadi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )