Kedah bangkit kembali rebut tiga mata di laman sendiri

Kedah bangkit kembali rebut tiga mata di laman sendiri

KUALA LUMPUR,. Pasukan Kedah kembali meraih kemenangan dalam aksi Liga Super, setelah bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Kemenangan ketiga diraih skuad Lang Merah itu membolehkan mereka melonjak ke kedudukan ketiga carta Liga Super dengan kutipan 10 mata, manakala PJ City FC kekal di tangga ke-10 daripada 12 pasukan, selepas mengumpul lima mata dari enam perlawanan.

Pada aksi malam ini, pemain import dari Brazil Washington Brandao, meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-15, sebelum Kedah bangkit meraih jaringan menerusi dua pemain import mereka iaitu, Kpah Sherman pada minit ke-24 dan Tchetche Kipre pada minit ke-67.

UiTM FC turut meraih tiga mata berharga di laman sendiri, setelah mengejutkan Pahang 1-0 di Stadium UiTM, Shah Alam, hasil jaringan tunggal Muhamad Rafie Mat Yaacob pada minit ke-63.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United pula berkongsi satu mata setelah seri 1-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pada aksi berkenaan, Eskandar Ismail meletakkan PDRM di hadapan pada minit ke-49, sebelum bekas pemain antarabangsa Singapura Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal, menyamakan kedudukan untuk Felda United menerusi sepakan penalti pada minit ke-71.

Dalam saingan Liga Premier, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) meraih tiga mata berharga di tempat lawan setelah menang tipis 3-2 ke atas Terengganu FC II (TFC II), di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pemain import dari Argentina Francisco Insa Bohigues, meledak dua gol untuk JDT II, masing-masing pada minit ke-12 dan minit ke-27, selain gol daripada Fernando Ortega pada minit ke-65.

TFC II pula meraih gol menerusi Muhammad Zuasyraf Zulkiefle seawal minit pertama, dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-54.

Sementara itu, Perak II berpesta gol selepas menang selesa 5-1 ke atas Kuching FA, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Lima gol pasukan tuan rumah hadir menerusi jaringan Khairul Asyraf Sahizah pada minit ke-15, Muhammad Nazmi Ahmad (minit ke-26), Muhammad Adib Abdul Raop (minit ke-49 dan minit ke-57), serta Sacha Petshi pada minit ke-89, manakala gol tunggal Kuching FA disumbangkan bekas pemain kebangsaan Joseph Kalang Tie, pada minit ke-54.

Satu lagi aksi Liga Premier di antara Selangor II dan Kelantan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )