
Kecoh kes ‘abang belon’menghalang penjawat awam, DBKL buat laporan polis
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kekecohan antara penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan dibuat seorang anggota penguat kuasa mengenai kejadian itu, hari ini.
Menurutnya, polis terkesan video berdurasi satu minit 42 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook yang memaparkan sepasukan anggota penguat kuasa DBKL sedang menyita barangan peniaga belon di tepi jalan.
“Semasa proses penyitaan, berlaku pergelutan antara anggota dengan penjaja terbabit.
“Selain itu, beberapa orang penjaja tepi jalan yang lain turut membuat provokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sulizmie berkata, pihaknya akan mengesan semua individu yang disyaki terbabit untuk diambil keterangan.
Polis juga akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan dengan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Terdahulu, media melaporkan keadaan di Jalan TAR kecoh malam tadi susulan perselisihan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL.
Berdasarkan dua rakaman video tular berdurasi lebih tiga minit di media sosial sejak awal pagi tadi, berlaku aksi tolak menolak antara pegawai penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.