Kebenaran latihan di padang terbuka beri kelegaan buat pasukan Liga Malaysia

Kebenaran latihan di padang terbuka beri kelegaan buat pasukan Liga Malaysia

KUALA LUMPUR,. Kebenaran menjalani latihan di padang terbuka bermula 15 Jun ini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas melegakan beberapa jurulatih bagi mempersiapkan pasukan masing-masing untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia pada September ini.

Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata beliau menyambut baik keputusan berkenaan sambil memaklumkan skuad Hang Tuah bersedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sememangnya situasi ini di luar jangka kerana pemain seolah-olah menghadapi persiapan pra musim sebanyak dua kali dalam tempoh satu musim.

“Mungkin suasana dalam latihan nanti akan sedikit berbeza kerana ada banyak SOP perlu dipatuhi, tetapi kita akan cuba atasi rasa kekok itu bagi memastikan latihan dapat dijalankan,” jelas Zainal Abidin dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Turut menyuarakan sentimen sama adalah Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang menzahirkan rasa gembira kerana pasukannya boleh meneruskan latihan seperti biasa di padang, yang akan meningkatkan semangat dalam kalangan pemainnya.

“Selepas liga dihentikan selama hampir tiga bulan ekoran pandemik COVID-19, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk membina semula kecergasan dalam kalangan pemain.

“Bagaimanapun, saya berharap pemain saya dan kakitangan jurulatih dapat mematuhi SOP ketat yang ditetapkan oleh pihak berwajib kerana kami ingin selamat daripada jangkitan COVID-19,” tambah jurulatih kelahiran Australia itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media khas di Putrajaya semalam memaklumkan, pihak kementerian memberi lampu hijau kepada skuad kebangsaan, pasukan negeri atau kelab di bawah MFL, serta akademi bola sepak yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut SOP Am Individu dan SOP Pengurusan yang ditetapkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )