Kebenaran akses maklumat akaun bank kepada LHDN dorong pematuhan cukai – Deloitte

Kebenaran akses maklumat akaun bank kepada LHDN dorong pematuhan cukai – Deloitte

KUALA LUMPUR,. Deloitte Malaysia berpendapat cadangan pindaan dengan memberikan kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat akaun bank bertujuan menggalakkan pematuhan cukai, selain mendapatkan semula hutang cukai yang terhutang kepada kerajaan.

Pengarah Eksekutif Audit dan Penyiasatan Cukai Mohd Fariz Mohd Faruk berkata, adalah penting untuk pembayar cukai di Malaysia benar-benar memahami kuasa baharu yang diberikan kepada LHDN di bawah Seksyen 106A.

“Kuasa untuk mendapatkan maklumat mengenai akaun bank perlulah untuk tujuan permohonan perintah garnisi.

“Setiap orang perlulah jelas terhadap pengertian prosiding garnisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 yang merangkumi cadangan pindaan terhadap Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan yang mana LHDN tidak lagi perlu memaklumkan kepada pembayar cukai untuk memohon butiran akaun bank mereka daripada pihak bank untuk tujuan semakan atau penyiasatan.

Mohd Fariz berkata prosiding garnisi adalah proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada penghutang penghakiman yang menjadi sebahagian daripada hartanya yang ada dalam pelaksanaan.

“Ini bererti prosiding sivil telah dimulakan terhadap seseorang dan penghakiman telah diperoleh terhadap seseorang itu agar LHDN boleh mendapatkan maklumat akaun bank individu tersebut daripada institusi kewangan.

“Tujuan mendapatkan maklumat akaun bank itu adalah untuk LHDN membuat permohonan kepada mahkamah bagi perintah garnisi tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata subseksyen (2) kepada Seksyen 106A yang dicadangkan itu turut melarang institusi perbankan mendedahkan kepada mana-mana pihak bahawa permohonan sedemikian telah dibuat kepada insitusi kewangan tersebut.

“Ini tidak bermaksud LHDN mendapat kebebasan untuk memohon maklumat akaun bank pembayar cukai daripada institusi kewangan secara ‘rahsia’ atau ‘sulit’ tanpa pengetahuan pembayar cukai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata bank juga perlu melaksanakan proses yang kukuh bagi menyelesaikan permohonan maklumat akaun bank daripada LHDN di bawah Seksyen 106A baharu dan melindungi kerahsiaan bagi permohonan sedemikian.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan bank boleh didenda antara RM200 hingga RM20,000 atau dipenjara untuk tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 120A Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang terhadap seksyen 106A baharu yang diperkenalkan berikutan ia mungkin tidak boleh digunakan atau dilaksanakan secara meluas kepada mereka yang mematuhi kewajipan cukai pendapatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )