
Kebakaran Putra Heights: Kerugian kediaman dianggarkan RM65.4 juta
SHAH ALAM,. Nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu berdasarkan pemerhatian yang dilakukan pasukan teknikal diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden tersebut.
Beliau berkata hasil pemeriksaan itu mendapati 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
“Selain itu, tindakan pantas pasukan keselamatan seperti bomba, bersama bantuan orang awam dan penduduk, menyelamatkan nilai yang dianggarkan berjumlah RM285.9 juta,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin turut memaklumkan bahawa penilaian terhadap kerosakan infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata radius kawasan siasatan telah diperluas kepada 325 meter persegi berbanding 290 meter persegi sebelum ini.
“Sehingga hari ini, sebanyak 151 rumah telah disahkan selamat dan pemiliknya telah dibenarkan pulang, dengan kemungkinan ada kerosakan kecil yang perlu dibaiki,” katanya.
Beliau turut mengumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Datuk Johary Anuar, untuk mengetuai Fasa Pemulihan, termasuk kaedah baik pulih bagi kawasan yang terkesan seperti rumah, jalan, infrastruktur, dan fasiliti awam.
Sementara itu, Amirudin berkata hanya 20 peratus pelajar terkesan yang terlibat dalam sesi persekolahan pagi hari ini menggunakan khidmat pengangkutan yang disediakan.
“Mungkin sebahagian daripada mereka masih trauma. Oleh itu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri akan menghantar pegawai untuk membantu pelajar terkesan di pusat pemindahan sementara (PPS) agar mereka dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan bencana.
“Pada peringkat awal ini, mereka akan dibantu dari segi darjah, kelas, dan apa sahaja yang perlu walaupun mereka tidak ke sekolah. Diharapkan dalam masa terdekat, mereka akan kembali ke sekolah dan dapat meneruskan sesi pengajian mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, Amirudin memaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) akan menyumbang sebanyak RM500 kepada 265 pelajar yang telah dikenal pasti terlibat dalam insiden kebakaran itu.
Menteri Besar Selangor itu sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan negeri, dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), menyediakan lima pengangkutan khas bagi menghantar anak-anak mangsa yang terlibat dalam insiden letupan dan kebakaran gas di Putra Heights ke 34 sekolah.
Kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api yang menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, menyebabkan bomba terpaksa mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran tersebut sepenuhnya.
Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
–BERNAMA