
Kebakaran paip gas Putra Heights: Mangsa terjejas diminta buat laporan – Mohamad Sabu
SUBANG JAYA: Kesemua mangsa yang terjejas akibat kebakaran kebocoran paip gas di Putra Heights, di sini diminta membuat laporan polis termasuk melibatkan kerosakan dan kehilangan harta benda.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya bersama agensi terlibat juga akan memantau keperluan mangsa yang terlibat.
“Jadi soal pihak yang terlibat pula diminta semuanya membuat laporan polis.
“Pihak polis menyediakan kaunter yang banyak untuk mereka membuat laporan polis termasuk apa saja yang berlaku seperti kehilangan, kerosakan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Khamis.
Semalam polis mengesahkan menerima sebanyak 66 laporan polis daripada mangsa.
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata laporan tersebut merangkumi rumah terjejas, kerosakan kenderaan, kecederaan dan berkaitan tanah lot.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada pukul 8.10 pagi Selasa meninggalkan kesan ketara, membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki dengan keluasan kira-kira 70 x 80 kaki.
Kebakaran itu turut mengakibatkan api menjulang tinggi serta menghasilkan bahang panas dan debu yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda, termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.