Keadaan banjir tidak banyak berubah di kebanyakan negeri, 45 jalan di Selangor masih ditutup

Keadaan banjir tidak banyak berubah di kebanyakan negeri, 45 jalan di Selangor masih ditutup

KUALA LUMPUR,. Meskipun cuaca bertambah baik namun, musibah banjir yang melanda negara sejak Sabtu lepas masih tidak menunjukkan perkembangan positif yang besar.

Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 45 jalan masih ditutup, berkurangan daripada jumlah semalam iaitu 73 jalan yang melibatkan enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini bagi laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 4 pagi tadi.

Penutupan jalan-jalan itu melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat (26); Subang Jaya (11); Sepang (4); KLIA (2) dan masing-masing satu jalan melibatkan IPD Klang Utara dan Hulu Selangor.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.50 pagi, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat daripada 24,533 mangsa melibatkan 6,907 keluarga malam tadi kepada 24,647 mangsa dari 6,935 keluarga melibatkan 134 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di TERENGGANU kekal iaitu 63 orang daripada 13 keluarga pada pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka berada di tiga PPS di Kemaman dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu diramal panas sepanjang hari ini dan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut sepenuhnya.

Di PAHANG pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini adalah seramai 37,793 orang di 280 PPS yang beroperasi di sembilan daerah.

Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 21,489 orang diikuti Temerloh (6,972 orang) dan Lipis (2,084 orang) manakala daerah lain yang turut terjejas ialah Bentong, Raub, Jerantut, Bera, Maran dan Pekan.

Laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan beberapa sungai utama masih melebihi paras bahaya pagi ini termasuk Sungai Pahang di beberapa lokasi dengan trend menaik iaitu di Water Front Bera, Kampung Chenor di Maran, Lubuk Pasu Temerloh dan Kuala Sungai Chini Pekan.

ANIH Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) memaklumkan laluan yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lepas, masih belum dibuka terutamanya di KM76 hingga KM126 Lanchang-Temerloh di LPT1 dan KM71 KL-Karak yang ditutup di kedua-dua arah.

Sementara itu, antara jalan utama yang terjejas ialah Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lipis-Jerantut , Jalan Jerantut-Maran, Jalan Bentong-Gua Musang, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau dan Jalan Karak-Simpang Pelangai.
Jumlah mangsa banjir di MELAKA juga meningkat kepada 465 mangsa daripada 111 keluarga setakat pagi ini berbanding 404 mangsa daripada 96 keluarga setakat 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata mangsa banjir di daerah Alor Gajah adalah seramai 206 orang daripada 53 keluarga manakala di Melaka Tengah 191 orang daripada 44 keluarga.

“Di daerah Jasin terdapat seramai 68 mangsa daripada 14 keluarga. Sembilan PPS masih beroperasi di negeri ini menempatkan kesemua mangsa banjir di negeri ini,” katanya.

Di Alor Gajah jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam turun kepada 55 mangsa daripada 16 keluarga manakala di PPS SK Durian Tunggal menempatkan 21 mangsa daripada lima keluarga, SMK Lubok China dengan 80 mangsa daripada 24 keluarga, PPS Balai Raya Kampung Paya Lebar 44 mangsa daripada enam keluarga manakala Surau Sri Jeram pula enam mangsa dari dua keluarga.

Di daerah Melaka Tengah pula, mangsa yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Tanah Merah sebanyak 61 mangsa daripada 15 keluarga, SK Kerubong (119 mangsa daripada 26 keluarga) dan SK Taman Merdeka 11 mangsa daripada tiga keluarga.

Di Jasin, PPS SK Parit Penghulu Benteng menempatkan 68 mangsa banjir daripada 14 keluarga

Sementara itu, di KELANTAN, hanya satu sahaja sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan 9.96 meter (m), setakat 7 pagi ini, susulan keadaan cuaca cerah dan baik semalam.

Menurut portal rasmi eBanjir Kelantan melalui https://ebanjir.kelantan.gov.my memaklumkan tiga lagi sungai utama yang berada pada paras bahaya semalam iaitu Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard mencatatkan paras amaran (14.57 m), Sungai Kelantan di Tangga Krai, paras berjaga (22.47 m) dan Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan normal (26.01 m).

Aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 3,467 orang daripada 1,034 keluarga ditempatkan di 32 PPS pagi ini melibatkan empat jajahan iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Gua Musang dan Tanah Merah.

Di PERAK, seramai 319 orang mangsa banjir dari dua daerah masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata mangsa di daerah Hilir Perak ditempatkan di dua PPS membabitkan Dewan Bandaran Teluk Intan (136) dan Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (148) manakala mangsa dari daerah Muallim di SK Kuala Slim (35).

Kesemua mangsa dari sembilan kawasan perumahan masih berteduh di PPS berkenaan namun banjir di Kampung Kuala Slim, daerah Muallim mula surut berikutan cuaca baik pada pagi ini dan mangsa terlibat dijangka boleh mula membersihkan kediaman masing-masing selepas keadaan selamat.

Bagaimanapun kediaman mangsa di daerah Hilir Perak masih ditenggelami air berikutan banjir belum surut walaupun cuaca baik pada pagi ini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )