KBS tidak kompromi mana-mana jurulatih, atlet terlibat jenayah dan dadah

IPOH,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan mana-mana jurulatih atau atlet yang terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk dadah.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya berharap pihak polis menjalankan siasatan segera berhubung seorang jurulatih renang yang ditahan kerana disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran syabu, dalam serbuan di Selangor dan Johor pada 22 dan 23 April lepas.

“Saya mendapat maklumat tangkapan melibatkan individu dalam sukan negara kita ini dan saya berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini sedalamnya dan mengambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa bersama warga Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini semalam.

Beliau berkata tindakan menggantung atau memberhentikan perkhidmatan mereka daripada terus memegang jawatan juga akan dikenakan sekiranya didapati bersalah setelah didakwa di mahkamah.

Katanya KBS mengecam individu yang menyalahi undang-undang negara dan menasihatkan golongan belia khususnya para atlet supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat demi kepentingan rakyat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini dilaporkan berkata polis menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang dan merampas syabu seberat 287 kilogram yang dianggar bernilai kira-kira RM10.3 juta dalam serbuan itu.

Ayob Khan berkata kesemua mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun itu ditahan dalam empat serbuan dengan dua daripadanya ditahan di kediaman masing-masing di Puchong, Selangor manakala dua lagi di sekitar Johor Bahru.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata pihaknya berhasrat mewujudkan sebuah pusat aktiviti belia yang dilengkapi pelbagai kemudahan di dalam Daerah Kinta di sini yang melibatkan peruntukan kira-kira RM45 juta.

“Kami telah mengenal pasti sebidang tanah di sini untuk mewujudkan sebuah pusat belia dan saya sedang berurusan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah tersebut jadi saya harap perkara ini dapat dijalankan segera supaya kita dapat segerakan pembinaan pusat itu untuk kegunaan belia di Perak,” katanya.

Terdahulu, beliau menziarahi anggota PGA Ulu Kinta, Korporal Mohd Rosley Rahman, 37, yang diserang strok sejak Februari lepas di kediamannya di dalam kawasan kem itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )