Kawalan pembangunan di Kampung Baru di bawah kuasa DBKL

Kawalan pembangunan di Kampung Baru di bawah kuasa DBKL

KUALA LUMPUR,. Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan pihak berkuasa tempatan yang telah diberi kuasa dan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan fungsi mentadbir bandar raya Kuala Lumpur.

Justeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan, Kampung Baru sebagaimana kawasan lain di dalam bandar raya Kuala Lumpur adalah tertakluk kepada Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982; Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Akta Hiburan (WPKL) 1992; Akta Hotel (WPKL) 2003 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, semua tanah dan aktiviti di kawasan Kampung Baru adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang diguna pakai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Bagi tujuan itu, urusan mengenai kawalan pembangunan termasuk kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit menjalankan kerja bangunan, permit menjalankan kerja tanah dan kebenaran menduduki bangunan perlulah mendapatkan kelulusan Datuk Bandar Kuala Lumpur, ” kata DBKL dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, urusan kawalan itu membabitkan segala urusan perbandaran seperti pelesenan perniagaan dan penjaja, pengurusan lalulintas dan tempat letak kereta, pengiklanan, permit penutupan jalan serta kerja-kerja penguatkuasaan.

Namun kata kenyataan itu, DBKL amat mengalu-alukan penglibatan penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran kepada komuniti Kampung
Baru.

DBKL mengulas kenyataan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu pada 6 Jun 2020 mengenai status Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) di Kampung Baru. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )