Kanak-Kanak Cedera Parah Akibat Terlanggar ‘Mirror Maze’ di Taman Awam

Kanak-Kanak Cedera Parah Akibat Terlanggar ‘Mirror Maze’ di Taman Awam

SHAH ALAM, 10 Februari 2025 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan serius dan terpaksa menerima 12 jahitan selepas terlanggar cermin kaca di sebuah taman awam di Pengerang, Johor, baru-baru ini.

Ibunya, Nurul Shazrina Roslee, 38, berkata kejadian cemas itu berlaku ketika mereka sekeluarga mengunjungi taman berkenaan sekitar jam 9.30 malam untuk melihat tarikan baharu di lokasi tersebut.

Menurutnya, mereka menemui ‘mirror maze’ berbentuk bulatan dengan lampu-lampu di sepanjang cermin, yang menyebabkan kekeliruan akibat pantulan kaca, terutama pada waktu malam.

“Pada awalnya, kami menyangka cermin itu diperbuat daripada akrilik dan bukannya kaca yang boleh membahayakan pengunjung. Ketika saya sedang memegang dua anak kecil, anak sulung saya melangkah ke depan, dan tiba-tiba saya terdengar bunyi kaca pecah yang sangat kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan insiden itu, Nurul Shazrina segera berlari mendapatkan anaknya, yang ketika itu sudah berlumuran darah.

“Kami terus membawanya ke klinik berhampiran untuk rawatan awal. Doktor menjahit 12 luka di bahagian dahi, hidung, jari kanan, dan pergelangan tangan kirinya akibat kecederaan teruk.

“Walaupun pemeriksaan X-ray tidak menunjukkan sebarang keretakan pada tengkoraknya, doktor menemui serpihan kaca di dalam hidungnya, menyebabkan kami terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital KPJ,” jelasnya.

Menurutnya, anaknya kini semakin pulih, namun mengalami parut kekal dan memerlukan rawatan fisioterapi berterusan bagi jari kanannya yang digunakan untuk menulis.

Nurul Shazrina turut mengakui bahawa kejadian itu menjadi pengajaran kepada ibu bapa agar sentiasa lebih berhati-hati dalam memantau pergerakan anak-anak di tempat awam.

“Sebagai ibu bapa, ada perkara yang di luar kawalan kita. Namun, saya berpendapat penggunaan cermin kaca di taman awam tidak sesuai dan boleh mengundang bahaya kepada pengunjung,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Pengerang, yang kemudiannya mengambil tindakan dengan menutup kawasan berkenaan sehari selepas insiden berlaku.

“Aduan ini bukan bertujuan untuk menyalahkan atau menyaman mana-mana pihak, tetapi lebih kepada meningkatkan kesedaran agar keselamatan pengunjung lebih terjamin,” katanya.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )