Kaji selidik uji ubat Covid-19 bermula tidak lama lagi

PUTRAJAYA,. Kaji selidik solidariti yang diselaraskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menguji beberapa ubat dalam rawatan Covid-19 akan dijalankan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kaji selidik itu membabitkan proses pengumpulan data, perbandingan keselamatan dan keberkesanan empat protokol rawatan.

“Empat protokol rawatan ini menggunakan kobinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

“Kementerian Kesihatan akan memulakan kajian klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat untuk merawat Covid-19 dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, untuk tindakan itu, sembilan hospital akan terbabit mengendalikan pesakit Covid-19 yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Hospital yang terlibat ialah Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka; Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth (Sabah).

“Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan telah bersidang dan akan bekerjasama dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang mana badan ini bertanggungjawab meluluskan penggunaan ubat dalam kajian klinikal ini.

“Tiga aspek penilaian akan diambil kira iaitu keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat ini berdasarkan data-data yang dikemukakan,” katanya.

Penyelidikan akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr Chow Ting Soo dan dibantu 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )