KAFA masih mencari penaja utama urus Syarikat TRW Sdn Bhd

KAFA masih mencari penaja utama urus Syarikat TRW Sdn Bhd

KOTA BHARU,. Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) giat mencari penaja utama, bagi menguruskan Syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bersambung 15 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pihaknya sedaya upaya mencari dan membawa masuk penaja utama, bagi melancarkan pengurusan pasukan dan persatuan.

“Ketika ini kami bekerja keras menggunakan pelbagai saluran yang ada, bagi mendapatkan penaja utama dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

“Bakal penaja utama tidak perlu takut dengan hutang lapuk yang dihadapi oleh persatuan, mereka tidak akan dibebani dengan masalah itu, berikutan 100 peratus KAFA akan tanggung hutang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Isu hutang lapuk dan kepimpinan KAFA menjadi tumpuan besar yang melanda persatuan terbabit, antaranya melibatkan isu tuntutan tunggakan gaji daripada bekas pemain import dan tempatan, selain presiden dan timbalan presiden KAFA direhatkan, daripada menguruskan persatuan terbabit.

Malah, KAFA giat mencari penaja utama susulan Syarikat After Image Sdn Bhd, yang mempunyai 70 peratus saham dalam TRW Sdn Bhd, menarik diri daripada menguruskan syarikat terbabit.

Ahmad Muzakkir berkata, tugas penaja utama hanya mengurus kewangan pasukan utama, melalui syarikat TRW Sdn Bhd.

“Segala keuntungan seperti jualan jersi atau tiket diperolehi oleh penaja utama, dengan pembahagian 70 peratus dan 30 peratus kepada KAFA.

“Penaja utama mengurus kewangan seperti membayar segala hal berkaitan dengan pasukan utama sahaja, termasuk gaji pemain dan pegawai selain perbelanjaan pasukan,” katanya.

Katanya bagi tabung ‘selamatkan bola sepak Kelantan’ pihaknya telah menutup akaun tabung itu lebih awal daripada masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada pertengahan Ogos.

“Kita telah menutup kutipan pada 28 Jun lalu, sepanjang tiga bulan pelancaran bermula Mac, pihak kami berjaya mengumpul sebanyak RM26,000 kutipan keseluruhan, dan ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan persatuan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )