Kadar pengangguran diunjur berada pada paras 3.3% tahun ini – Maybank IB

Kadar pengangguran diunjur berada pada paras 3.3% tahun ini – Maybank IB

KUALA LUMPUR,. Selepas menyederhana kepada 3.4% tahun lepas daripada 3.8% pada 2022, Maybank Invesment Bank (Maybank IB) menjangkakan kadar pengangguran berada pada paras 3.3% tahun ini.

Katanya, apabila pasaran pekerjaan menjadi lebih stabil dari perspektif kadar pengangguran serta pertumbuhan pekerjaan dan tenaga buruh, perkembangan utama lebih kepada pendapatan pekerja.

Firma penyelidikan itu berkata, segmen tenaga kerja tertentu akan menyaksikan gaji yang lebih tinggi seperti contoh kenaikan gaji perkhidmatan awam antara 15% dan 42.7% dengan fasa pertama pada 1 Disember 2024.

“Prospek kenaikan gaji minimum pada 2025 berbanding RM1,500 ketika ini akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia kepada Kabinet bulan depan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, pasaran buruh negara kekal stabil, susulan kedudukan ekonomi negara yang semakin berkembang pesat, merekodkan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan.

Bilangan tenaga buruh pada Julai 2024 terus bertambah dengan merekodkan peningkatan sebanyak 0.1% kepada 17.20 juta orang (Jun 2024: 17.17 juta orang).

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.4% seperti pada Jun 2024.

Firma penyelidikan itu berkata, pengangguran belia kekal pada 10.5% untuk bulan ketiga berturut-turut (Jun 2024: 10.5%), meninggalkan julat 10.6% hingga 10.8% sejak Ogos 2023 hingga April 2024, tetapi masih melebihi paras terendah sebelum pandemik 9.9% pada Disember 2019.

Segmen penting pekerjaan/pekerja tidak formal dalam ekonomi iaitu “Pekerja Akaun Sendiri” (iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil, bekerja sendiri dan pekerja gig) telah meningkat secara berterusan sejak Jan 2021 (2.39 juta) dan mencecah paras tertinggi baharu 3.07 juta pada Julai 2024 (Jun 2024: 3.06 juta) kerana pertumbuhannya (Jul 2024: +3.7%) mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga (Jul 2024: +1.8%).

–DagangNews.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )