
Kabinet setuju bentuk jawatankuasa kerjasama perikanan laut dalam Malaysia-Vietnam
PUTRAJAYA,. Kabinet secara prinsip bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi merangka model kerjasama perikanan laut dalam antara Malaysia dan Vietnam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata keputusan ini adalah susulan perjumpaan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, ketika lawatan beliau ke Malaysia pada November lepas. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam industri perikanan dan maritim.
“Kabinet baru-baru ini telah membincangkan perkara ini hasil daripada idea kedua-dua pemimpin tersebut.
Setelah itu, kami secara dasar bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta agensi-agensi lain,” katanya.
Menurut Saifuddin, secara prinsipnya, kerjasama ini bertujuan mencari kaedah model terbaik untuk membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam teknologi tangkapan ikan laut dalam. Selain itu, kedua-dua pihak juga akan menjalankan operasi bersama bagi memastikan keuntungan dapat dinikmati oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman.
— BERNAMA